Setelah tewas tipis dalam tiga perlawanan, Young Tigers telah membuktikan bahawa mereka mempunyai keupayaan dan semangat untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan ternama.

“Terdapat banyak tanda positif dalam persembahan kita dalam tiga perlawanan sebelum ini. Pasukan ini lebih bersedia tahun ini. Benar, kita tewas tipis tetapi para pemain jelas menunjukkan kesungguhan dan agresif untuk  mencari gol. Saya mahu mereka tunjukkan kesungguhan yang sama daripada mula hingga akhir perlawanan bila bertemu Great Britain dan selanjutnya pada Khamis,” kata jurulatih Amin Rahim.

Malaysia tewas 2-3 kepada New Zealand pada perlawanan pertama dan 1-3 kepada India. Ketika menentang Pakistan, skuad negara yang ketinggalan tiga gol, menjaringkan dua gol dengan permainan tinggal empat minit untuk tewas 2-3.

Malaysia dan juara tiga kali Great Britain akan bermain dalam playoff 5 hingga 8 manakala dalam perlawanan satu lagi Afrika Selatan bertemu New Zealand.

“Kita telah bermain dengan Great Britain dalam perlawanan latihan dua hari sebelum Piala Sultan Johor bermula tetapi ketika itu situasinya lain. Permainan Great Britain kini lebih baik. Mereka bermain cemerlang ketika menentang Jerman dan kita menjangkakan mereka akan memberikan tentangan yang sama nanti,” katanya.

Amin berkata pasukannya akan berkumpul untuk mengekalkan semangat setiakawan selepas Kejohanan Piala Sultan Johor berakhir dan ia turut membabitkan ahli psaikologi sukan Institut Sukan Negara.

“Kami akan menetapkan arah tujuan dan ia lebih kepada persiapan mental. Piala Dunia hanya beberapa minggu lagi dan persiapan mental amat penting untuk menyiapkan pemain bagi pentas besar itu. Apa yang kita lakukan ketika menentang Pakistan pada suku ketiga dan keempat ialah permainan agresif untuk mencari gol ketika ketinggalan.

“Dalam semua perlawanan kita, para pemain telah menunjukkan persembahan baik. Kita membuat kesilapan dengan memberi ruang kepada pihak lawan dan mereka menjaringkan gol. Kita juga agresif tetapi kita tidak dapat menjaringkan gol tetapi mereka dapat. Sama seperti perlawanan dengan Pakistan, kita mendapat enam pukulan sudut penalti, sama seperti mereka, tetapi mereka menjaringkan dua gol dan kita cuma satu gol,” katanya.