Jurulatih skuad remaja Pakistan Roelant Oltmans mengakui bahawa pertemuan separuh akhir dengan Australia pada kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Jumaat, merupakan “pengalaman baru” bagi pemainnya.
“Ini satu perlawanan sukar. Australia pasukan yang kuat, susunan struktur yang kemas serta mempunyai pemain individu yang sangat baik. Mereka tidak melepaskan banyak gol. Cuma dua sahaja dalam kejohanan ini,” kata Oltmans.
“Ini satu cabaran yang besar bagi kita seperti cuaca baru. Itu lah cara saya melihatnya. Kami sedang menyediakan persiapan untuk Piala Dunia Remaja dan dalam proses mencari kombinasi terbaik dan melihat apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan. Kami amat suka dapat bermain dengan pasukan baik seperti itu pada kejohanan ini.”
Skuad remaja Pakistan tidak pernah bertemu Australia dalam beberapa tahun ini, kata Oltmans.
“Seingat saya dengan pasukan ini, inilah kali pertama kita akan bermain menentang Australia. Pasukan senior pernah bertemu mereka dalam Piala Juara-juara 2018 tetapi setahu saya ini kali pertama skuad remaja berdepan Australia.
“Ia satu cuaca baru. Perlawanan Pakistan dan Australia adalah satu cabaran besar. Kita perlu bersedia dan berhati-hati kerana jika kita hilang fokus, kita akan terperangkap dan tersungkur.”
Pakistan mempunyai dua pemain yang mengalami kecederaan dan para pegawai akan menentukan siapa salah seorang daripada berdua itu akan diturunkan Jumaat.
Mengenai harapan Pakistan untuk ke final, jurulatih dari Belanda itu, berkata: “Kita perlu realistik kerana kami tahu ia kejohanan yang sukar. Ada empat pasukan handal dalam separuh akhir — India yang menjadi juara beberapa kali, Jerman, Australia dan juga Pakistan. Jadi saya tidak berapa kisah sangat soal memenangi kejuaraan.”
“Saya memikirkan soal untuk membangunkan pasukan menjelang Piala Dunia. Di sini lah (Piala Dunia) kita sepatutnya berada pada puncak. Dua perlawanan terakhir pada Piala Sultan Johor ini lebih penting daripada memenangi kejuaraan. Tetapi jika kita boleh menang, mengapa mensia-sia peluang itu,” kata beliau.