Perlawanan klasifikasi tempat ke-5 hingga 8 menyaksikan pesta gol apabila Great Britain menewaskan Malaysia 7-4 pada Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Khamis.

Kedua-dua pasukan menempah tiket ke pusingan klasifikasi setelah tidak menyerlah pada perlawanan pusingan awal kumpulan. Great Britain akan bertemu New Zealand untuk tempat ke-5 dan ke-6. Pasukan Kiwi mengalahkan Afrika Selatan 3-1. Malaysia pula akan bertemu Afrika Selatan untuk tempat ke-7 dan ke-8.

Great Britain memulakan jaringan dengan pantas seawal minit ke-5. Matthew Hughson membuat conversion sudut penalti untuk kedudukan 1-0. Ted Graves bergerak bijak untuk menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol Mohamad Rafaizul manakala gol ketiga oleh Ali Douglas untuk mendahului 3-0.

Kapten skuad negara Faris Harizan (minit ke-22), Andywalfian Jeffrynus (minit ke-24) dan Osman Harris (minit ke- 27) masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh lima minit untuk Malaysia menyamakan kedudukan 3-3 pada akhir suku kedua. 

Great Britain kemudian menjaringkan empat gol – Jacob Payton (minit ke-36, minit ke-42), Henry Markham (minit ke-49) dan Rory Penrose (minit ke-54) manakala gol keempat young tigers oleh Faris (minit ke-44) untuk menjadikan kedudukan akhir 7-4.