Pasukan remaja kebangsaan akhirnya mencatat kemenangan pertama pada kejohanan Piala Sultan Johor 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, Jumaat.

Berikutan tiga kekalahan pada peringkat kumpulan dan dibelasah 7-4 oleh Great Britain pada perlawanan klasifikasi ke-5 hingga 8 pada Khamis, Young Tigers menunjukkan taring untuk menang 3-2 di hadapan lebih 1,500 penonton. 

“Akhirnya kami dapat juga menang satu perlawanan dan saya melihatnya sebagai tanda positif. Tahap keyakinan para pemain dapat dilihat daripada keputusan itu. Setiap kali kita ketinggalan, mereka kembali dengan garang,” kata jurulatih Amin Rahim.

“Kita akan membuat post mortem. Bagi pukulan sudut penalti, memang ada kelemahan. Saya tidak boleh menyalahkan fliker jika masalahnya daripada injektor atau stopper. Kita perlu memperbaiki cara mendapatkan gol,” katanya.

Afrika Selatan yang berada di tangga ke-10 ranking Remaja Dunia FIH mengambil masa 10 minit untuk menunjukkan kelemahan barisan pertahanan Malaysia. Viwe Mbata membuat satu tap menewaskan penjaga gol Mohamad Rafaizul untuk kedudukan 1-0. Ini merupakan gol kedua Mbata dalam kejohanan.

Young Tigers’ yang menduduki tangga ke-8 dunia menyamakan kedudukan dua minit kemudian melalui Che Nur Aqilrullah yang merembat kencang melepasi penjaga gol Devan van Niekerk. Kedudukan 1-1 kekal sehingga akhir separuh masa pertama.

Malaysia mendahului 2-1 menerusi jaringan padang Harris Osman pada minit ke-39. Tidak pernah sekali pun Malaysia dapat mempertahankan kedudukan pada kejohanan kali ini. Cameron Le Niekerk berjaya mencari ruang untuk menyamakan kedudukan 2-2. 

Empat minit sebelum permainan tamat, Kamal Mughni menjaringkan gol kemenangan Young Tigers dengan kedudukan 3-2. Pemain tengah Wan Muhammad Najmie diisytihar pemain terbaik.

Pada Piala Sultan Johor 2022, Afrika Selatan menewaskan Malaysia 3-2 dalam playoff tempat ke-5 dan ke-6.