Jerman menumpaskan India 6-3 dalam perlawanan separuh akhir Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Jumaat.
Lawan Jerman di final ialah Australia yang mengalahkan Pakistan 2-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. India pula akan bertemu Pakistan untuk tempat ketiga dan keempat.
Kekalahan besar India, yang telah memenangi Piala Sultan Johor sebanyak tiga kali, ialah seperti disambar kilat dan menusuk kalbu. Keputusan itu juga mengecewakan anak didik jurulatih C.R.Kumar yang bermain baik pada perlawanan-perlawanan pusingan awal.
“Kami amat gembira dengan kemenangan ini terutama kemajuan yang dicapai dalam perlawanan ini. Fokus kita hari ini ialah untuk menguasai permainan dan kita telah melakukannya dengan cemerlang dengan jaringan pada suku kedua dan ketiga. Kita bermain lebih baik hari ini berbanding perlawanan-perlawanan sebelumnya,” kata ketua jurulatih Jerman Rein van Eijk.
“Saya rasa kita secara perlahan bersedia sampai ke tahap yang diingini untuk Piala Dunia. Pengalaman di sini fantastik. Ia satu kejohanan antarabangsa peringkat tertinggi dan sangat baik,” kata beliau.
Jerman, pasukan nombor dua dunia, menunjukkan permainan cemerlang hingga mengunci barisan serangan India dan dalam pada itu meranapkan pertahanan pasukan nombor tiga dunia itu untuk mendahului 2-0 pada separuh masa.
Jerman yang membelasah India 6-1 dalam final pertandingan remaja empat negara di Dusseldorf pada Ogos, mendahului 1-0 pada minit ke-16 menerusi Christian Franz dan seminit kemudian, Nikas Berendts melebarkan jurang daripada pukulan sudut penalti.
Kejohanan di Dusseldorf dan di Johor Baharu ialah sebahagian daripada persiapan untuk Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur dari 5 hingga 16 Disember ini.
Selepas ketinggalan dua gol, India tidak hanya bertahan malah mempertingkatkan serangan. Penjaring prolifik mereka Lakra Amandeep sekali lagi menyelamatkan pasukannya dengan membuat conversion sudut penalti pada minit ke-35 untuk kedudukan 2-1.
Bagaimnapun, Jerman terus mengganas dengan membuat empat jaringan menerusi Pier Hinrichs (minit ke-43 dan ke-48), Nikas Berendts (minit ke-45) dan Florian Sperling untuk kedudukan 6-1.
India membalas dua gol lagi melalui kapten Uttam Singh (minit ke-48) dan Rohit setelah Jerman menggantikan penjaga gol utamanya, Joshua Onyekwue Nnaji dengan Simon Florian.