STADIUM Hoki Taman Daya kekal sebagai azimat bagi Jerman di bumi Malaysia dengan kemenangan 3-1 ke atas Australia dalam penalti shoot out untuk merangkul Piala Sultan Johor.
Dalam perlawanan final yang sengit pada Sabtu yang disaksikan Tunku Temenggong Johor dan hampir 5,000 penonton, Australia telah sedikit menyukarkan laluan Jerman setelah permainan tamat dengan berkesudahan tanpa jaringan.
Jerman memenangi Piala Dunia Remaja di venu sama pada 2009 dengan menewaskan Belanda 3-1 dalam final. Jerman mengecap satu lagi kejayaan dengan menjulang Piala Sultan Johor pada 2012, iaitu penyertaan kali pertama mereka.
Kehebatan Jerman pada kejohanan edisi ke-11 ini sudah cukup bagi pasukan-pasukan lain yang akan menyertai Piala Dunia Remaja dari 5 hingga 16 di Bukit Jalil untuk berasa gentar.
Para penonton yang membanjiri Stadium Hoki Taman Daya telah menyaksikan perlawanan-perlawanan menarik. Pertama ialah antara India dan Pakistan untuk tempat ketiga dan final antara nombor dua dunia, Jerman dengan Australia. Kemeriahan kejohanan telah diserikan dengan pertunjukan bunga api.
Pada perlawanan kumpulan minggu lepas, Jerman dan Australia seri 2-2 dalam satu perlawanan yang sangat menarik.
Australia dan Jerman telah daripada awal menunjukkan bahawa mereka adalah pasukan favourite apa lagi setelah tersingkirnya dua pencabar iaitu India dan Pakistan pada separuh akhir.
ANUGERAH
Juara: Jerman
Naib Juara: Australia
Ketiga: India
Penjaring terbanyak : Amandeep Lakra (India) 6 gol
Penjaga gol terbaik : Joshua Onyekwue Nnaji (Jerman)
Pemain terbaik kejohanan: Matteo Poljaric (Jerman)