Australia menghadapi laluan sukar untuk menduduki dua tempat teratas apabila hanya mampu seri 2-2 dengan New Zealand pada kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu, Ahad.

New Zealand kini tempat kedua dengan empat mata – kurang dua mata daripada pendahulu India, dan Great Britain ditangga ketiga dengan tiga mata manakala Australia keempat dengan satu mata.

Pasukan Future Black Sticks dan Burras menunjukkan corak permainan serangan yang positif pada separuh masa pertama tetapi gagal menterjemahkan peluang-peluang yang diperolehi kepada jaringan.

Terdahulu, India mencatat kemenangan kedua pada kejohanan kali ini dengan menewaskan Great Britain 6-4.

Isnin ialah hari rehat. Hari Selasa akan menyaksikan tiga lagi perlawanan iaitu India bertemu Young Tigers, Jepun bertemu Australia manakala New Zealand berdepan Great Britain.

New Zealand yang terlebih dahulu mendahului 2-0 dengan jaringan oleh Javahr Jones dan Jonty Elmes, masing-masing pada minit ke-7 dan ke-8.

Australia pula banyak melancarkan serangan pada suku kedua hingga membuat penjaga gol New Zealand Hayden Ganley sibuk. Bagaimanapun, ia membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila Hayden Pease membuat rembatan kencang daripada pukulan sudut penalti.

Daykin Stanger menyamakan kedudukan 2-2 hasil gol padang dua minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Pada suku ketiga dan keempat, kedua-dua pasukan sering melancarkan serangan-serangan pantas. Dalam tempoh itu, Australia mendapat lima pukulan sudut penalti berbanding tiga oleh New Zealand tetapi tiada yang menjumpai jaring.