Young Tigers mengalami kekalahan kedua pada Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) setelah tewas 1-4 kepada Jepun di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.

Sebelum ini, Young Tigers tewas 2-3 kepada New Zealand manakala Jepun kalah 2-4 kepada India.

“Kami bermula dengan amat baik. Sasaran kita ialah untuk menang tetapi jika kita tidak boleh membuat jaringan, kita tidak akan menang. Kita perlu salahkan diri sendiri. Banyak kesilapan besar dibuat di bahagian pertahanan sehingga mereka menjaringkan gol kedua, ketiga dan seterusnya” kata ketua jurulatih remaja kebangsaan, I. Vikneswaran.

“Sejak momen itu, momentum permainan berubah dan kederdasan emosi pemain terganggu,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan India pada Selasa, beliau berkata Young Tigers perlu mengambil segala peluang yang ada untuk menaikkan tahap keyakinan dan kekuatan mental.

“India ialah pasukan kuat dan permainan mereka konsisten tetapi jika kita melupakan kekalahan dan bergerak ke depan dengan minda yang kuat, perubahan boleh berlaku,” kata beliau.

Dalam perlawanan menentang Jepun, Young Tigers melancarkan pemainan pantas sehingga mendapat tiga pukulan sudut penalti berturut-turut pada enam minit pertama tetapi semuanya tidak berhasil.

Suku pertama dan kedua menyaksikan banyak percubaan ke arah pintu gol oleh kedua-dua pasukan.

Hanya di suku ketiga Young Tigers memperolehi jaringan pada minit ke-35 menerusi gol padang Adam Ashraf untuk mereka mendahului 1-0.

Bagaimanapun, tiga minit kemudian Hyota Yamada menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti. Jepun kelihatan lebih berbahaya dengan gerakan pantas dan pada minit ke-43 Yuto Higuchi menjadikan kedudukan 2-1.

Kapten dan pemain terbaik perlawanan, Yamato Kawahara menambah jaringan pada minit ke-48 dan tiga minit kemudian pukulan sudut penalti Koyo Nishida menjadikan kedudukan 4-1.

Penyerang Malaysia Muhammad Danish Daniel beraksi ketika menentang Jepun di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada hari Ahad kelmarin. 


Kepten pasukan Jepun Yamato Kawahara memenangi anugerah Man of the Match.