Australia menamatkan perlawanan pusingan mereka dengan bergaya dan berjaya ke final Piala Sultan Johor (SOJC) setelah mengetepikan Malaysia 9-3 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.

Australia akan berentap di final dengan Great Britain yang sebelum itu menewaskan Jepun 3-1.

Setelah perlawanan secara pusingan berakhir Jumaat, skuad Burras, Great Britain dan India masing-masing mengutip 10 mata. Bagaimanapun, Australia berada ditangga teratas kerana mempunyai kelebihan jaringan gol.

Great Britain dibawah kendalian Jon Bleby ditangga kedua dan India ketiga. Dalam perlawanan lain, New Zealand dan India seri 3-3. Mereka akan bertemu sekali lagi untuk menentukan pingat gangsa manakala Malaysia menentang Jepun untuk tempat kelima dan keenam.

Ketua jurulatih skuad Remaja Kebangsaan, I. Vikneswaran berkata mereka sudah menjangkakan Australia akan bertindak garang.

“Kita lambat panas dan dalam tempoh itu, mereka telah menjaringkan empat gol. Lagipun kita telah menurunkan penjaga gol simpanan Khairul Amirin pada suku pertama. Jika kita tidak memberinya peluang untuk bermain,  bila lagi dia dapat bermain,” kata beliau.

“Kita telah melepaskan gol yang tidak sepatutnya berlaku. Ia boleh dielakkan. Daripada lapan pukulan sudut penalti yang kita perolehi, kita dapat menjaringkan dua. Mereka telah mencuba sedaya upaya. Tetapi kadang kala bekerja kuat sahaja tidak mencukupi, kita perlu tahu apa yang harus dilakukan dan pada waktu bila. Ini ialah satu lagi proses pembelajaran,” kata Vikneswaran.

Young Tigers mendapat beberapa peluang pada suku pertama manakala Australia menguasai keseluruhan permainan. Vikneswaran memperkenalkan penjaga gol nombor dua, Khairul untuk suku pertama. Malangnya, Australia mendahului 4-0 dengan jaringan menerusi Liam Henderson (ke-2), Dylan Downey (ke-3), Ian Grobbelaar (ke-7) dan Jesse Absolom (ke-15).

Sebelum separuh masa pertama tamat, Malaysia mengurangkan jurang 2-4 menerusi Muhammad Danish Danial (ke-24) dan Azimuddin (ke-29).

Penjaga gol utama, Mohamad Rafaizul Saini mengambil alih tugas pada suku kedua sehingga tamat permainan.

Australia mendominasi suku ketiga dan keempat dan menjaringkan lima lagi gol untuk kedudukan 9-3. Toby Mallon (ke-33), Daykin Stanger (ke-37), Liam (ke-53) membuat jaringan manakala Harris Oman menambah gol Young Tigers.

Dua lagi gol Australia ialah daripada Patrick Andrew dan Lucas Toonen.

The Young Tigers beraksi menentang Australia