Skuad muda negara kembali ke landasan kemenangan setelah membenam
New Zealand 4-2 dalam perlawanan ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan
Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru pada
Ahad.
Kemenangan tersebut menghidupkan peluang skuad bimbingan Nor Saiful
Zaini Nasiruddin untuk memberi cabaran merebut tempat terbaik pada
kejohanan edisi ke-13 itu.
Skuad ‘Young Tigers’ turun dengan semangat membara untuk melakar
keputusan positif setelah terikat 1-1 dengan naib juara edisi lalu, Australia
pada Ahad.
P. Naaveennesh muncul wira apabila meledak dua gol padang dalam masa
tiga minit dan penyerang berusia 20 itu turut dinobatkan sebagai pemain
terbaik perlawanan.
Dia membuka tirai jaringan apabila menyempurnakan dengan baik bola
hantaran Ammar Qusyairi Abd Halim pada minit ke-16.
Berselang tiga minit, Naaveennesh menggandakan jaringan peribadi
apabila sekali lagi menewaskan Hugh Nixon di gawang New Zeland.
Belum pun sempat skuad bimbingan Mike Delaney bernafas, gawang
mereka bocor lagi dan kali ini tiba giliran Ammar pula meledak pada minit
ke-19.
Belum mahu mengibar bendera putih, New Zealand mengemaskan corak
permainan dan taktikal mereka berhasil apabila meraih pukulan sudut
penalti yang disempurnakan dengan baik Javahn Jones pada minit ke-44.
Skuad ‘Black Sticks Junior’ terus menggandakan tekanan ke kubu negara
dan strategi itu menjadi apabila mereka dihadiahkan pukulan sudut
penalti.
Rocco Ludolph tenang meledak ke gawang negara untuk menewaskan
Haziq Muizuddin Hairul Mizan buat kali kedua pada minit ke-47.
New Zealand kemudian melakukan langkah drastik ‘power play’
mengosongkan gawang dengan mengeluarkan Nixon bagi memberi
tekanan tinggi ke kubu Malaysia.
Namun strategi itu memakan diri apabila skuad muda negara yang
membuat serangan balas pantas dan meraih gol padang menerusi
Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi pada minit ke-57.
Dalam pada itu, Nor Saiful gembira dengan prestasi yang diperagakan para
pemain apabila menterjemahkan strategi permainan dengan baik, namun
perlu meningkatkan lagi prestasi untuk berdepan juara bertahan, Great
Britain pada Rabu.
“Pelan kita menjadi dan para pemain cepat belajar. Cuma mereka perlu
lebih baik lagi, kelemahan bukan di benteng sahaja, tetapi semua pemain
perlu tingkatkan lagi prestasi.
“Standard Great Britain pula lebih kurang sama dengan New Zealand. Kita
akan tengok apa kelebihan dan kelemahan pasukan lawan. Dari situ kita
akan rangka strategi terbaik,” katanya.
Naaveennesh pula menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu
pencapaian besar buat dirinya.
“Menjaringkan dua gol berdepan New Zealand atau mana-mana pasukan
antarabangsa lain bukan sesuatu yang mudah. Jadi, ini adalah pencapaian
hebat dan saya mahu lebih banyak lagi kejayaan,” katanya.
