Afrika Selatan yang kali pertama menyertai Kejohanan Piala Sultan Johor edisi ke-10 berjaya menjinakkan juara dua kali, India 5-4 di Stadium Hoki Taman Daya, Ahad.

Cameron Forestier, yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, merupakan wira Afrika Selatan dengan dua jaringan pada suku terakhir.

Anak buah jurulatih S.K.Kumar yang dibarisi tujuh pemain Piala Dunia Remaja 2021 di Bhubaneswar, India dan empat pemain daripada edisi ke-9, membuat serangan demi serangan selepas Afrika Selatan, dibawah bimbingan jurulatih Goy Elliot, mendahului

1-0 menerusi jaringan padang Marvin Simone pada minit ke-7.

India, yang membenam Malaysia 5-2 pada perlawanan pembukaan, Sabtu, terus menguasai perlawanan setelah dua jaringan Shardanand Tiwari pada minit ke-9 dan ke-10 untuk kedudukan 2-1.

Kapten Uttam Singh membuat jaringan pada minit ke-17 menerusi jaringan padang hasil serangan balas pantas di sebelah kanan. Pukulan kencangnya menewaskan penjaga gol Kamvva Dyakala.

“Tidak ada magik. Kami sentiasa berusaha mencari gol. Satu perlawanan yang hebat dengan India. Masih banyak untuk dipelajari daripada kemenangan ini dan kami akan terus dengan gaya dan pendekatan serangan kami,” kata jurulatih Afrika Selatan Guy Elliot.

Pengurus pasukan India, Mohamad Alam mengucapkan tahniah kepada kemenangan Afrika Selatan sambil menegaskan mereka akan mengkaji persembahan itu.

“Kami juga mempunyai banyak peluang dan berharap dapat membuat jaringan. Satu perlawanan yang baik dan kami akan belajar daripada kekalahan ini. Afrika Selatan ialah pasukan yang bagus dan kuat,” kata beliau.

Pasukan Afrika Selatan tidak berputus asa. Sebaliknya, mereka terus bersemangat dan bersungguh dalam membuat serangan sehingga lawan mereka kerap kali terperangkap.

Permainan ofensif Afrika Selatan telah membuahkan hasil. Fawaaz Kahder menjaringkan dua gol, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Tetapi nasib menyebelahi India pada saat-saat terakhir suku ketiga. Sudeep Chirmako menewaskan penjaga gol Akani Malik bagi meletakkan India mendahului 4-3.

Dalam perlawanan yang menarik itu, para penonton dihidangkan dengan pelbagai skil dan keazaman untuk menang. Afrika Selatan berjaya menunjukkan kelebihan dan berjaya memperolehi dua gol.

Cameron Forestier menjaringkan dua gol pada minit ke-49 dan ke-57 untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan bermakna 5-4 ke atas India.