Bekas juara, India mencatat kemenangan 5-1 ke atas Jepun untuk mencerahkan harapan layak ke final Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor.

India, yang mengutip enam mata daripada tiga perlawanan, mendominasi permainan dalam suku pertama.

Belum pun sempat Jepun untuk menyusun permainan selepas wisel mula ditiup, kapten India Uttam Singh, salah seorang daripada tujuh pemain Piala Remaja Dunia 2021, merembat bola masuk pada minit ke-3 menerusi jaringan padang.

Jurulatih India C.R.Kumar yang ternyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya,  berkata beliau menjangka akan mendapat tentangan sengit daripada Jepun.

“Jepun mendapat tujuh pukulan sudut penalti dan ini adalah baik bagi kita. Ia memberi kita banyak latihan dalam situasi sebegini. Kita memperolehi peluang dan dapat menyempurnakannya,” katanya.

Jurulatih Jepun Hiroki Watnabe mengakui bahawa pasukan India adalah kuat dan pantas.

“Kami bermain dengan baik dan memperolehi banyak pukulan sudut penalti. Kita mempunyai peluang tetapi gagal mengambil kesempatan,” katanya.

Rohit menjaringkan gol kedua pada minit ke-12 selepas India mendapat pukulan sudut penalti kedua tetapi Jepun, yang mengejutkan juara bertahan Great Britain 3-2, kembali garang dengan gol pukulan sudut penalti untuk kedudukan 2-1 pada saat-saat akhir suku pertama.

Walaupun Jepun berusaha untuk mendapatkan jaringan dan cuba menyaingi India daripada segi kepantasan dan serangan balas, namun barisan hadapan India lebih menyerlah sehingga dapat menjaringkan dua gol. 

Johnson Purty menjaringkan gol ketiga pada minit ke-21 hasil jaringan padang manakala Dhami Boby Singh, yang merupakan pemain terbaik perlawanan, mendapat gol keempat pada minit ke-31.

Namun bukannya India sahaja yang mendominasi permainan dalam suku ketiga dan keempat. Jepun menunjukkan mereka juga mampu bersaing. Jepun mendapat sebanyak tujuh pukulan sudut penalti berbanding India yang cuma dua.

Kegagalan mereka untuk menyempurnakan pukulan-pukulan sudut penalti itu memusnahkan harapan mereka untuk mendapat mata penuh.

India terus menambah luka Jepun dengan jaringan kelima oleh Amandep Lakra pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti.