Juara bertahan Great Britain berjaya menyekat kemaraan Malaysia untuk mencatat kemenangan 4-2 pada Kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Rabu.

Kemenangan tersebut meletakkan juara tiga kali itu di tangga ketiga dengan enam mata di belakang Australia (10 mata) dan India (7 mata).

Jaringan daripada Tom Moorhouse dan Fred Newbold, masing-masing pada minit ke-2 dan ke-17 meletakkan Great Britain pada kedudukan 2-0. Jamie Golden (minit ke-34) yang bermain dalam kejohanan edisi 2019 dan Harrison Stone (minit ke-43) telah melebarkan jurang kedudukan kepada 4-0 pada akhir suku ketiga.

Malaysia telah melancarkan beberapa serangan balas dan mendominasi permainan dalam 10 minit terakhir. Muhammad Danish Aiman membuat jaringan padang pada minit ke-50 dan Shahmie Irfan Suhaimi menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.

Great Britain mendapat beberapa peluang tetapi gagal mendatangkan hasil.

Jurulatih Malaysia Amin Rahim berkata Great Britain menjaringkan tiga gol hasil pertahanan yang lemah sehinggalah ke suku ketiga.

“Apa yang saya lihat Great Britain menjaringkan tiga gol disebabkan kelemahan benteng pertahanan. Kami membenarkan mereka menjaringkan gol pada lima minit pertama pada setiap suku. Dalam perlawanan hoki antarabangsa, kita tidak boleh begitu,” katanya.

“Apabila kita tidak fokus, pada masa itu lah Great Britain mengambil kesempatan. Ini merupakan pengajaran kepada pemain. Kita perlu sentiasa fokus untuk 60 minit permainan,” kata Amin.

Bagaimanapun Amin memuji para pemainnya kerana keazaman mereka mencari gol dalam suku keempat.

“Mereka bersemangat mencari gol untuk mengurangkan defisit. Sebenarnya mereka memberi tentangan sehingga ke akhir perlawanan,” katanya.

Jurulatih Great Britain Jon Bleby berkata Malaysia sememangnya pasukan yang berbahaya.

“Pemain saya perlu berhati-hati dengan cara permainan agar tidak dilayangkan kad oleh pengadil. Malaysia bermain cemerlang dalam suku terakhir dan saya gembira dengan tiga mata yang diperolehi,” katanya.