Afrika Selatan, yang pertama kali menyertai Kejohanan bawah 21 tahun Piala Sultan Johor, menewaskan Malaysia 3-2 pada perlawanan klasifikasi kelima dan keenam di Stadium Hoki Taman Daya, Sabtu.

Ini merupakan kemenangan kedua Afrika Selatan ke atas Malaysia dalam tempoh lima hari. Pada 25 Okt mereka menang 3-1 dalam perlawanan kumpulan.

Afrika Selatan memulakan perlawanan dengan positif dan mendahului pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti oleh Raath Niel. Malaysia menyamakan kedudukan seminit kemudian dengan cara yang sama menerusi Mamat Muhammad. 

Bagaimanapun, kegembiraan Malaysia tidak tahan lama apabila Hans Neethling membuat jaringan padang pada minit ke-25.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan sama-sama menguasai posesi. Afrika Selatan mendapat pukulan penalti pada minit ke-36 apabila Wan Muhammad Najmie terpijak bola di depan pintu gol hasil pukulan sudut penalti. Raath Niel dengan mudah membuat jaringan, gol keenam beliau dalam pertandingan, untuk kedudukan 3-1.

Raath telah dinamakan sebagai pemain terbaik.

Malaysia terus mengasak dan pemain simpanan Zulhanif Sahran dapat membuat jaringan pada minit ke-44 tetapi jaringan itu dibatalkan kerana bola terkena kaki pemain Malaysia.

Momentum permainan bertambah rancak dalam lima minit terakhir suku keempat. Malaysia mendapat enam pukulan sudut penalti manakala Afrika Selatan lapan.

Zulhanif berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-56 untuk kedudukan 3-2.

Satu minit sebelum permainan tamat, Malaysia mendapat pukulan sudut penalti tetapi tidak berhasil. Afrika Selatan menamatkan persembahan mereka dalam Piala Sultan Johor di tempat kelima daripada enam pasukan yang bertanding.