Pengurus pasukan Remaja Kebangsaan I.Vickneswaran menganggap edisi ke-11 Piala Sultan Johor sebagai medan ujian bagi para pemainnya untuk menghadapi pasukan-pasukan yang lebih kuat.

“Kita mempunyai pasukan-pasukan yang sangat kuat bertanding dalam kejohanan Piala Sultan Johor dan pengalaman serta pendedahan di sini akan memberi faedah kepada para pemain menjelang Piala Dunia pada Disember,” kata Vickneswaran.

“Para pemain perlu menunjukkan permainan terbaik mereka dan memberi tekanan kepada New Zealand pada perlawanan pertama. Ia adalah pertandingan yang sangat kompetitif di mana tujuh daripada lapan pasukan yang bertanding di sini akan bermain di Piala Dunia Remaja pada Disember di Stadium Hoki Kebangsaan Bukit Jalil.”

“Pengalaman ini sangat bermakna kepada semua pasukan,” katanya. “Persembahan yang baik di Kejohanan Piala Sultan Johor ialah yang dicari untuk meningkatkan tahap keyakinan kita.”

“Jelajah Eropah merupakan kejayaan dan para pemain juga telah menunjukkan permainan baik pada Piala Remaja Asia di Oman. Daripada segi pengalaman dan pendedahan, pasukan ini berada pada landasan betul,” katanya.

Pasukan itu diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara bertahan India, Pakistan dan New Zealand. Skuad jurulatih Amin Rahim akan bertemu India pada 28 Okt dan mengakhiri jadual perlawanan menentang Pakistan pada 31 Okt.

Sebagai rekod, Remaja Kebangsaan tewas 2-6 menentang Pakistan pada separuh akhir Piala Remaja Asia di Oman dan mengakhiri cabaran di tempat keempat setelah tewas 1-2 kepada Korea Selatan untuk pingat gangsa.

Ini merupakan penampilan ketujuh New Zealand pada Piala Sultan Johor dan mereka berharap dapat menjadi juara buat kali pertama. Persembahan terbaik mereka pada kejohanan ini ialah tempat keempat pada 2014.

Skuad Remaja Kebangsaan juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan juara tiga kali, Great Britain, pada Rabu yang berkesudahan seri 3-3.

“Kami ketinggalan 0-2 pada suku pertama tetapi mendahului 3-2 pada suku keempat sebelum Great Britain menyamakan kedudukan. Secara keseluruhan, perlawanan adalah seimbang,” kata Vickneswaran.