Pasukan Harimau Muda menunjukkan prestasi yang memberangsangkan walaupun tewas 2-3 kepada New Zealand pada kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini hari ini.
Walaupun dengan kesudahan New Zealand menang, namun anak didik jurulatih Amin Rahim menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 2,000 penonton kerana permainan cemerlang.
Bermain untuk kali ketujuh dalam kejohanan Piala Sultan Johor, pasukan Kiwi memperoleh jaringan pertama hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-6 oleh Luke Aldred. Bagaimanapun, satu minit selepas itu Kapten Harimau Muda Faris Hamizan menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti.
Selepas itu, tempo permainan menjadi rancak dan New Zealand mula mendominasi sehingga mendapat dua lagi pukulan sudut penalti sehingga menghasilkan jaringan pada minit ke-15 oleh Scott Cosslett.
Malaysia yang mensia-siakan banyak peluang pada suku kedua membuat serangan bertalu-talu sehingga menghasilkan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.
Fariz sekali lagi merembat bola masuk menewaskan penjaga gol Hayden Ganley untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Skuad Harimau Muda gagal untuk mematahkan serangan-serangan pihak lawan sehingga pertahanan bocor pada minit ke-33. James Hickson meloloskan bola melepasi penjaga gol Rafaizul Mohamad untuk kedudukan 3-2 sehingga wisel penamat.
Patrick Ward diisytihar sebagai pemain terbaik perlawanan.
“Saya melihat banyak perkara yang positif dalam perlawanan ini berbanding tahun lepas. Walaupun kita tewas, terdapat banyak serangan yang dilakukan dan berjaya menembusi tembok pertahanan lawan. Terdapat beberapa kelemahan tetapi kita akan usaha mengatasinya sebelum perlawanan menentang India pada Sabtu,” kata Amin.
“Keseluruhan, kita mempunyai banyak peluang tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Pertahanan pihak lawan agak ketat tetapi kita masih mampu menembusinya banyak kali,” kata beliau. “Inilah positifnya.” Jurulatih New Zealand Aaron Ford pula berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun sentiasa diasak oleh Malaysia