Pasukan Jerman, yang menyertai semula Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 setelah menyepi sedekad, dengan mudah membelasah Afrika Selatan 6-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Taman Daya di sini hari ini.
Stadium Hoki Taman Daya membawa kenangan manis kepada pasukan Jerman. Di Stadium yang mempunyai kapasiti 5,000 penonton ini lah Jerman memenangi kejohanan Piala Remaja Dunia Ke-5 pada 21 Jun, 2009 menewaskan Belanda 3-1 pada final. Jerman seterusnya memenangi Piala Remaja Dunia sebanyak enam kali dan menjadi naib juara kepada Argentina pada Piala Dunia lepas.
Pada 2012, Jerman menyertai edisi ke-2 Piala Sultan Johor buat kali pertama dan menjuarainya setelah mengalahkn India 3-2 pada final.
Mereka sekali lagi tiba di sini dengan beberapa kejayaan setelah memenangi kejuaraan remaja empat negara di Dusseldorf. Cara mereka membelasah India 6-1 pada final sudah cukup untuk menggerunkan pasukan-pasukan di Johor Baharu.
Ketua jurulatih Jerman Rein van Eijk berkata beliau gembira dengan hasil perlawanan memandangkan pasukannya terpaksa menghadapi tekanan pada suku pertama.
“Ia lebih kompak dan kita menaikkan tempo pada suku kedua dan mendatangkan hasil. Afrika Selatan bermain dengan baik hari ini. Kita akan melihat semula dan cuba memperbaiki permainan bila menentang Great Britain pada Selasa,” katanya.
Penjaga gol Afrika Selatan Gianluca Virissimo terpaksa bekerja keras untuk menafikan bola masuk ke jaring berikutan asakan bertubi-tubi jentera serangan Jerman tetapi usahanya tidak bertahan lama.
Liam Holdermann memulakan jaringan pada minit ke-18 diikuti Matteo Poljaric (minit ke-21), Luis Hoechemer (minit ke-31), Florian Sperling (minit ke-37) dan dua jaringan oleh Ben Hasback (minit ke-38 dan minit ke-54). Jerman membuat lima jaringan padang dan satu pukulan sudut penalti.
Jerman mengumumkan bahawa mereka merupakan pasukan yang perlu digeruni dan paling bahaya pada kejohanan kali ini.
Afrika Selatan yang hanya mampu membuat jaringan pada minit ke-58, menerusi gol padang Caleb Oliphant. Afrika Selatan dikira kurang bernasib baik kerana pada suku pertama mereka mendapat dua pukulan sudut penalti tetapi gagal membuat jaringan.
Pada perlawanan itu, Florian Sperling dinamakan sebagai pemain terbaik.