Pakistan berjaya mengatasi lawannya 3-2 dalam perlawanan Kumpulan B Piala Sultan Johor setelah New Zealand menjaringkan dua gol pada lewat permainan di Stadium Hoki Taman Daya di sini Sabtu.

Pemain-pemain Pakistan menghancurkan harapan New Zealand pada awal permainan menerusi dua gol pukulan sudut penalti. Pakar pukulan Arbaz Ahmad menyumbat bola ke dalam jaring pada minit ke-7 dan Basharat Ali menambah jaringan pada minit ke- 30.

Ia merupakan gol ketiga Arbaz pada hari kedua kejohanan.

Muhammad Khan meneruskan dominasi Pakistan dan menambahkan perit New Zealand dengan jaringan minit ke-47 menerusi sudut penalti.

Ketika permainan kelihatan seimbang pada suku pertama, Pakistan nampak lebih terserlah selepas itu. Naib juara Piala Remaja Asia 2023 itu mendominasi permainan walaupun kadang-kala New Zealand dapat menembusi pertahanan dengan serangan balas pantas.

Mereka mendapat empat pukulan sudut penalti sepanjang permainan tetapi tidak mendatangkan hasil. New Zealand telah mengejutkan Pakistan, yang nampak terlalu yakin, dalam dua minit terakhir perlawanan dengan dua jaringan untuk mengurangkan jurang yang akhirnya kemenangan berpihak Pakistan.

Pukulan Gus Nelson melepasi penjaga gol Ali Raza pada minit ke-58 untuk kedudukan 3-1 dan Patrick Ward menambah kerisauan Pakistan dengan gol kedua menerusi sudut penalti, 16 saat sebelum permainan tamat.

Pakistan yang mempunyai lapan pemain yang telah beraksi di Sukan Asia di Hangzhou akan bertemu Malaysia pada Selasa.

Dengan kemenangan itu, Pakistan mengumpul empat mata. Pakistan seri 3-3 dengan India pada Jumaat. New Zealand pula mempunyai tiga mata.