Juara bertahan India mengakhiri perlawanan Kumpulan B mereka pada kejohanan Piala Sultan Johor dengan dramatik setelah menumbangkan New Zealand 6-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Isnin malam.
Dengan itu, India dibawah bimbingan jurulatih C.R. Kumar maju ke peringkat separuh akhir kejohanan. Mereka menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata manakala Pakistan tempat kedua dengan empat mata. New Zealand ketiga dengan tiga mata dan Malaysia ditangga terbawah tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Perlawanan yang dijangka menarik pada Selasa ialah pertemuan Malaysia dengan Pakistan di mana Malaysia perlu menang.
Barisan serangan pasukan India bermain dengan rentak pantas pada suku pertama sehingga menyukarkan New Zealand untuk membendung mereka.
Sejurus perlawanan bermula, Lakra Amandeep menunjukkan kehebatannya dengan membuat jaringan pada minit ke-2, ke-7 dan ke-35 manakala Arun Sahani menjaringkan gol pada minit ke-12 dan ke-53, dan Poovanna Chandura Boby (minit ke-52). Luke Aldred menjaringkan kedua-dua gol New Zealand pada minit ke-29 dan minit ke-60.
India mendapat pukulan sudut penalti pada permulaan minit perlawanan. Lakra Amandeep merebut peluang itu dengan merembat bola melepasi penjaga gol Luke Elmes untuk India mendahului 1-0 pada minit kedua.
Pada kejohanan kali ini, Lakra Amandeep, yang dipilih sebagai pemain terbaik menentang New Zealand, telah menjaringkan lima gol setakat ini.
India terus mengasak kubu New Zealand dengan serangan bertubi-tubi hinggalah ke akhir perlawanan.
“Permainan yang cukup baik,” kata Kumar. “Mereka menjaringkan gol dengan pantas. Saya puas hati dengan persembahan Lakra dan dia juga diiktiraf oleh jawatankuasa teknikal setelah dinobatkan sebagai pemain terbaik.”
“Kesemua pemain bermain luar biasa dengan cara tersendiri dan tidak ada seorang pemain pun yang tidak berusaha. Satu kesepaduan pasukan yang cukup baik. Sekarang kita akan memberi tumpuan kepada separuh akhir,” kata Kumar.