Australia menewaska juara bertahan Great Britain 3-1 pada Kejohanan Antarabangsa Piala Sultan Johor edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, Selasa.
Dengan mengumpul sembilan mata, Australia mendekati ke final. Baki dua lagi perlwanan Australia ialah menentang India pada Rabu dan Afrika Selatan pada 28 Okt.
Australia mencatat kemenangan ketiga itu setelah menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan pembukaan dan menumpaskan Malaysia 8-0, Ahad.
Australia dan Great Britain telah bertemu sebanyak enam kali dalam Kejohanan Piala Sultan Johor sejak 2014. Great Britain menang empat kali manakala Australia mengalahkan Great Britain 2-0 pada perlawanan akhir 2017. Pada 2018 mereka seri 2-2 dalam perlawanan liga.
“Sememangnya kita dapat memungut mata maksimum tetapi yang saya bimbangkan ialah persembahan pemain. Di sesetengah bahagian nampak cantik dan di sesetengah bahagian lain tidak bagus,” kata jurulatih Australia Jay Stacy.
“Kita mempunyai rakaman video untuk memperbaiki permainan bagi perlawanan seterusnya. Kita tidak melihat sangat pada pungutan mata tetapi persembahan keseluruhannya,” kata beliau.
Jurulatih Great Britain Jon Bleby berkata: “Amat mengecewakan dengan peluang yang begitu banyak terhidang, kami masih gagal membuat jaringan. Terdapat lebih daripada 10 pukulan sudut penalti.”
Australia mendahului pada minit ke-2 apabila penyerang Cooper Burns menjaringkan gol. Mereka memperolehi pukulan sudut penalti sebelum Jack Holland menghantar bola kepada Burns untuk menewaskan penjaga gol Yuvraj Bhuhi.
Momentum perlawanan terhenti dua minit kemudian apabila permainan terpaksa dihentikan kerana hujan lebat dan petir.
Apabila disambung semula 30 minit kemudian, kedua-dua pasukan mempersembahkan permainan yang menarik dan usaha Great Britain untuk menyamakan kedudukan berhasil. Jaringan Ellis Robson menerusi gol padang pada minit ke-18 telah memberi harapan kepada juara tiga kali itu.
Pada minit ke-27 Australia sekali lagi mendahului apabila Joshua Brooks menyempurnakan pukulan penalti untuk kedudukan 2-1.
Pada separuh masa kedua, Great Britain mempertingkatkan serangan tetapi kecundang dalam beberapa pukulan sudut penalti yang diperolehi. Daripada segi penguasaan permainan, terdapat keseimbangan oleh kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, dalam suku keempat asakan Australia ke kubu Great Britain berhasil. Jaringan padang Liam Hart, gol ketiganya dalam kejohanan kali ini, telah memberi kemenangan 3-1 kepada Australia