Australia mencatat kemenangan pertama mereka pada hari ketiga kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) setelah menumpaskan Jepun 5-1 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk melonjakkan kedudukan masing-masing. Sebelum perlawanan, Jepun mengutip tiga mata manakala Australia hanya satu mata setelah kalah 2-3 kepada Great Britain dan seri 2-2 dengan New Zealand.

Dengan kemenangan itu, Australia kini mengutip empat mata.

“Keputusannya nampak cantik. Saya rasa kita boleh memperbaiki lagi persembahan. Tahapnya masih lagi di bawah standard kita,” kata ketua jurulatih Australia, Jay Stacy.

“Jika dibuat perbandingan, perlawanan ini lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini. Pada awalnya, cuaca terlalu panas tetapi apabila matahari terbenam, barulah terasa dingin sedikit,” katanya.

Pada suku pertama, Jepun bermain agak ofensif dan mendapat tiga pukulan sudut penalti tetapi semuanya tidak membawa hasil.

Secara keseluruhan, skuad Burras mendominasi permainan. Mereka mendapat sembilan pukulan sudut penalti berbanding tiga oleh Jepun.

 Dalam dua perlawanan sebelum ini, Jepun tewas 2-4 kepada India dan menang 4-1 dengan Young Tigers.

Australia mendapat dua pukulan sudut penalti berturut-turut dan Dylan Downey menjaringkan satu pada minit ke-17 dengan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kisho Kuroda.

Australia yang menjadi juara SOJC sebanyak dua kali menggunakan segala peluang yang terhidang setelah Jepun sering kehilangan bola. Ian Grobbelaar menjaringkan dua gol pada minit ke-34 dan ke-43 menerusi pukulan sudut penalti.

Naru Kimura mendapat gol tunggal Jepun pada minit ke-46 untuk kedudukan 1-3. 

Gol keempat Australia ialah menerusi Grobbelaar yang membuat hatrick. Dengan permainan tinggal satu minit untuk tamat, Jesse Absolom memperoleh gol kelima Australia untuk keputusan muktamad 5-1.

Pemain Australia Jesse Absolom (No 2) beraksi menentang Jepun. Australia menang 5-1

Ian Grobbelaar dari Australia menerima anugerah Man of the Match dari En. Murugan Nair.