Australia dan India seri 5-5 dalam perlawanan penuh dramatik yang dapat disaksikan penonton pada edisi ke-10 Kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Rabu.
Kedua-dua pasukan telah memenangi kejuaran sebanyak dua kali sejak Piala Sultan Johor diperkenalkan pada 2011. Perlawanan hari ni menyaksikan siapa sebenarnya pencabar kepada kejohanan kali ini yang termasuk juara bertahan Great Britain dan Afrika Selatan.
Berikutan keputusan seri 5-5 itu, masing-masing memperolehi satu mata. Australia berada ditempat pertama kumpulan dengan 10 mata manakala kedua, India dengan tujuh mata.
India memperolehi jaringan menerusi Tiwari Shardanand ( minit ke-8 dan ke-35), Dhami Boby Singh (minit ke-2), Hundal Araijeet Singh dan Amandeep.
Jaringan Australia pula melalui Brooks Joshua (dua gol), Lian Hart, Jack Holland dan Jake Lambert.
Ketua jurulatih India, C.R.Kumar berkata: “Pemain kita mempunyai masalah makanan bila berada di luar negeri. Di Malaysia, mereka masih menyesuaikan diri dengan makanan tempatan…sesetengah makanan agak pedas.”
“Mereka juga sukar untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di sini. Saya memberitahu mereka bahawa kita bermain di Malaysia dan jadi akan agak sukar bagi kita,” katanya.
Kumar, yang juga bekas jurulatih pasukan wanita India di Sukan Olimpik dan Piala Dunia, berkata perlawanan yang menyaksikan jaringan 10 gol itu jelas menampakkan para pemainnya tidak mampu untuk mengekalkan kedudukan selepas membuat jaringan
sehingga membenarkan Australia bangkit dan menyamakan kedudukan.
“Dalam perlawanan antarabangsa kita mesti mampu untuk bertahan dan mengekalkan jaringan yang ada di samping meningkatkan momentum. Kita berharap dapat membina pasukan ini untuk Piala Dunia Remaja. Untuk melakukan ini, kita perlu banyak bermain di peringkat antarabangsa. Kita memerlukan lebih 50 perlawanan untuk membina satu pasukan kuat bagi Piala Dunia,” kata Kumar yang ternyata terganggu dengan persembahan anak buahnya hari ini.
India, katanya, sedang mengatur perlawanan di Australia sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada 2023.
“Kami sedang menyusun perlawanan di Australia dan besar kemungkinan Malaysia dan New Zealand akan menyertainya juga,” tegas beliau.