Australia mempamerkan persembahan bersemangat untuk menundukkan Jepun 3-2 pada perlawanan pembukaan Kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya hari ini.
Jack Holland mendapatkan jaringan pertama Australia pada minit ke-15 menerusi jaringan padang. Dia merembat masuk bola di sebelah kanan pintu gol menewaskan penjaga gol Takeya Ishida.
Australia menambah jaringan tujuh minit kemudian apabila Joshua Brooks menyempurnakan pukulan penalti.
Kali terakhir Jepun bertemu Australia ialah pada edisi 2018 apabila dibelasah 6-1 untuk menduduki tempat keempat.
Jepun merapatkan jurang pada minit ke-36 menerusi jaringan padang oleh Yu Imamatsu.
Jepun yang kurang pendedahan antarabangsa seperti pasukan-pasukan lain disebabkan pandemik Covid menerima asakkan bertubi pada suku ketiga.
Australia menerima pukulan sudut penalti pada minit ke-43. Pemain pertahanan Burns Cooper membuat pukulan tepat ke pintu gol untuk kedudukan 3-1.
Bagaimanapun, Jepun dapat membuat jaringan pada minit ke-59 menerusi Ikumi Saeki melalui pukulan sudut penalti.
Cooper menerima hadiah pemain terbaik.
Ketua jurulatih Jepun Hiroki Watanabe berkata beliau gembira dengan persembahan anak buahnya.
“Saya berharap perlawanan pertama ini akan memberi semangat untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan akan datang. Keseluruhannya, saya gembira dengan persembahan hari ini,” kata Hiroki.
Ketua jurulatih Australia Jay Stacy berkata persembahan para pemainnya tidak begitu tajam dan banyak yang perlu dilakukan.
“Kita akan bertemu Malaysia pada Ahad dan kita boleh belajar dan memperbaiki hasil daripada kemenangan 4-1 kita dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.