Dua gol oleh Australia dalam tempoh 11 minit menentang Pakistan sudah cukup untuk mencipta kemenangan dan layak ke final pada kejohanan Piala Sultan Johor, Sabtu.

Australia akan berjumpa dengan pasukan nombor dua dunia, Jerman dalam final manakala Pakistan dan India akan bermain untuk tempat ketiga dan keempat. Terdahulu Jerman membenam India 6-3.

“Pada saya ia perlawanan yang menarik. Pakistan bermain hoki yang sangat baik. Pada saya ia cara asli Pakistan bermain. Mereka sangat pantas dan mempunyai skil mengawal bola,” kata jurulatih Australia Jay Stacy.

“Ada beberapa perkara yang kita perlu perbetulkan sebelum bertemu Jerman dalam final. Kita telah bermain dengan baik di sini tetapi kita tahu kita boleh melakukan dengan lebih baik lagi. Kami gembira dapat berdepan Jerman dalam final kerana mereka pasukan kuat dan begitu juga kita,” katanya.

Australia mendahului India 2-0 pada separuh masa pertama. Cooper Burns membuat jaringan dengan reverse flik pada minit ke-18 menewaskan penjaga gol Ali Raza.

Brodee Foster melebarkan jurang kepada 2-0 pada minit ke-29 dengan larian solo daripada garisan 25 meter dan hanya berdepan dengan Ali. Foster dengan bijak merembat bola ke dalam jaring akibat kesilapan besar pertahanan Pakistan.

Terdesak mencari gol, kesemua pemain Pakistan kemudian bergerak ke atas dan berada dalam kawasan Australia. Bagaimanapun, disebabkan mereka gagal melakukan sesuatu yang positif, mereka terlepas bola dan Foster mengutipnya lalu membuat larian solo. Barisan pertahanan Pakistan cuba mengejar tetapi sudah terlewat kerana Foster sudah pun melakukan kemusnahan.

Pakistan terus mencuba untuk merapatkan jurang gol. Mereka mendapat tiga pukulan sudut penalti dan beberapa peluang di depan gol tetapi kesemuanya gagal.

Dengan permainan cuma berbaki 1 minit 40 saat, Pakistan memperolehi gol padang menerusi Hannan Shahid tetapi ia agak terlewat untuk menafikan kemenangan Australia.