Australia dengan mudah melangkah ke peringkat separuh akhir setelah membenam Afrika Selatan 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A pada kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Selasa.

Australia bermain tanpa Brodee Foster yang digantung satu perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin kerana bertindak kasar terhadap pemain Jerman Antheus Barry ketika kedua-dua pasukan bermain pada Isnin. Perlawanan itu berkesudahan seri 2-2.

Australia, juara dua kali Piala Sultan Johor sejak dimulakan 2011, perlu menang menentang Afrika Selatan untuk menempah tiket ke separuh akhir. Mereka telah melakukannya dengan mudah.

Cooper Burns dan Will Mathison membuat jaringan padang masing-masing pada minit ke-15 dan ke-24 untuk meletakkan Australia 2-0. Dylan Downey pula menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan minit ke-41.

Burns, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik, sekali lagi menggegarkan jaring lawan dengan pukulan kencang hasil sudut penalti pada minit ke-51.

Dengan kemenangan itu, Australia mengutip tujuh mata sama seperti Jerman untuk melangkah ke separuh akhir. Terdahulu, Jerman menewaskan Afrika Selatan 4-3 dalam perlawanan penuh aksi.

Afrika Selatan turut mempunyai beberapa peluang tetapi gagal menyempurnakannya. Percubaan Caleb Oliphant pada minit ke-43 melihat bola melambung keluar dan kapten Ansell Nathan terlepas peluang di depan pintu gol pada minit ke-52.