Australia memulakan rentak menarik pada edisi ke-11 Kejohanan Piala Sultan Johor dengan kemenangan 3-0 ke atas Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Baharu hari ini.
Great Britain, juara tiga kali, kelihatan banyak bertahan pada awal permainan dan ketinggalan 0-2 menerusi jaringan padang Brodee Foster pada minit ke-14 dan ke-18 manakala jaringan padang Diarmid Chappell pada minit ke-35 menambahkan kerisauan Great Britain.
Australia yang menjadi juara pada 2016 dan 2017 tetapi tewas 5-4 kepada India menerusi penalti setelah perlawanan tamat 1-1 pada final 2022.
Jurulatih Great Britain Jon Bleby berkata pasukannya mempunyai campuran pemain muda dan kelihatan agak gentar menentang Australia.
“Mereka mungkin gentar pada awal permainan terutama pada separuh masa pertama dan membenarkan Australia menjaringkan dua gol. Ia perlawanan yang sukar tetapi kita bermain lebih baik pada separuh masa kedua,” katanya.
Penjaring dua gol, Foster dinamakan pemain terbaik perlawanan.
“Kami ada rehat dua hari sebelum menentang Afrika Selatan pada Isnin. Kita telah membuat beberapa kesilapan dan berharap dapat mengatasinya,” kata Bleby.
Australia mendominasi permainan dengan mendapat empat pukulan sudut penalti manakala Great Britain dua.
Jurulatih Australia Joy Stacy berkata: “Bagi kita, ia keputusan yang baik walaupun kita ada membuat kesilapan dan ia perlu ditangani apabila menentang Jerman. Baru-baru ini, kita ada membuat jelajah Eropah dan mengadakan perlawanan dengan Jerman dan Belgium.”
“Kita akan teruskan momentum kita untuk berada di dua tangga teratas agar ke final semula. Objektif kita di sini, seperti pasukan lain ialah untuk memberi peluang kepada pemain menentang pasukan-pasukan handal sebelum Piala Dunia Remaja,” katanya.