Great Britain yang menewaskan Jepun 3-1 pada Jumaat untuk layak ke final bertekad untuk bermain bermati-matian agar dapat menjulang Piala Sultan Johor (SOJC) buat kali keempat.
Great Britain telah menyertai kejohanan SOJC sebanyak 10 kali dan ini merupakan final keenam mereka di bawah jurulatih sama, Jon Bleby.
Bleby, yang pernah mewakili Great Britain pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, telah melatih skuad bawah 21 tahun Great Britain sejak 2013.
“Ramai daripada pemain senior Great Britain sekarang pernah menyertai SOJC. Hari ini terdapat sekumpulan lagi pemain yang memperolehi pengalaman daripada kejohanan yang menarik ini. Kami amat gembira dapat masuk final. Jepun telah memberi tentangan kuat. Keputusan perlawanan New Zealand-India juga telah membantu kita,” kata Bleby.
“Ia merupakan satu kejayaan untuk berada dalam final. Para pemain telah bermain bersungguh-sungguh dan kita telah bekerja kuat. Kita tidak akan berpuas hati jika mendapat pingat perak. Kita mahu membawa pulang kejuaraan keempat,” katanya.
Sejak SOJC diperkenalkan pada 2011, Great Britain telah memenangi SOJC pada 2015, 2018 dan 2019. Pada 2022, Great Britain menang pingat gangsa dan tahun lepas mendapat tempat kelima.
Great Britain dan India masing-masing mengumpul 10 mata setelah perlawanan secara pusingan berakhir Jumaat. Great Britain mempunyai kelebihan jaringan tiga gol berbanding India yang hanya dua.
Kaden Draysey menjaringkan dua gol menerusi penalti strok (ke-3) dan pukulan sudut penalti (ke-38) manakala satu lagi gol oleh Lewis Wilcher (ke-27). Gol Jepun pula oleh Yuma Fujiwara (ke-13).
Pemain Great Britain dan Jepun beraksi dalam Kejohanan SOJC