Great Britain menjuarai Piala Sultan Johor (SOJC) dengan mengalahkan Australia 3-2 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu, Sabtu.

Great Britain menjadi pasukan pertama dalam sejarah 12 tahun SOJC untuk menjulang piala itu buat kali keempat. Mereka menang pada 2015, 2018 dan 2019.

Bagaimanapun, orang yang paling gembira dengan kejayaan itu ialah jurulatih Jon Bleby. Dia telah bertanggungjawab mengemudi  pasukannya bermain dalam final sebanyak enam kali dalam 10 edisi yang mereka sertai. Dia telah dilantik sebagai jurulatih pasukan lelaki bawah 21 tahun Great Britain sejak 2013.

“Ia merupakan perlawanan sengit. Saya rasa kita bermain cukup baik tetapi bagi 10 minit pertama, persembahan kita kurang menyerlah dan ketinggalan 2-0. Pujian harus diberikan kepada pemain. Saya berasa sangat bangga. Australia juga amat baik,” kata Bleby.

“Kami amat menyukai kejohanan ini dan berterima kasih kerana dijemput. Amat menakjubkan bila kita memenanginya,” kata Bleby, yang mewakili pasukan hoki Great Britain pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Malam gilang gemilang final juga telah diserikan dengan nyanyian oleh ratu rock Ella yang menyampaikan lagu-lagu popularnya.

Daykin Stanger dan Dylan Downey meletakkan Australia mendahului 2-0 dengan jaringan padang dan pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-10 dan ke-13.

Great Britain yang mendapat tiga pukulan sudut penalti berbanding tujuh oleh Australia terus mengasak pada hujung suku pertama dan mendapat jaringan menerusi Kaden Draysey pada minit ke-14.

Alex Chihota menambah jaringan pada minit ke-40 menerusi jaringan padang dan pemain terbaik Rory Penrose membuat rembatan kencang daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-51 untuk kemenangan bersejarah 3-2 bagi Great Britain.

Bagi Australia, ia merupakan malam yang malang bagi mereka. Pasukan Burras juga layak ke final pada edisi 2022 dan 2023 tetapi tewas masing-masing kepada Jerman dan India.

“Sangat mengecewakan. Kita tidak bermain dengan baik hari ini. Kita menghadapi masalah tenaga dan cara permainan. Kita bermula dengan baik dan mempunyai peluang tetapi melakukan kesilapan,” kata jurulatih Australia Jay Stacy.

“Kami datang ke sini untuk cuba memenangi piala tetapi ia tidak begitu lancar sejak perlawanan pertama kita. Hari ini keputusannya ialah 3-2 tetapi tahap permainan tidak mengikut standard kita,” katanya.

“Sangat mendukacitakan. Permainan terbaik kita ialah ketika menentang India. Kita bermain agak baik menentang Jepun dan dengan mudah mengalahkan Malaysia yang belum lagi berpengalaman. Itulah kecantikan SOJC dan kita memang dengan senang hati suka datang setiap tahun kerana kita dapat mengetengahkan pemain-pemain baru di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.