JUARA tahun lalu India menewaskan Pakistan 6-5 dalam sudden death setelah perlawanan berkesudahan dengan seri 3-3 untuk tempat ketiga pada kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Sabtu.
Kali terakhir India, yang memenangi piala itu pada 2013, 2014 dan 2022, menduduki tempat ketiga ialah pada 2017 dengan mengalahkan Malaysia 4-0.
Permusuhan Pakistan dan India di padang hoki disambung pada Sabtu malam bagi playoff tempat ketiga dan keempat.
Dua jiran itu, yang juga seri 3-3 dalam perlawanan awal Kumpulan B minggu lepas, memulakan permainan dengan pantas. Bagaimanapun, India membuat jaringan awal untuk mendahului 1-0 pada minit ke-11 menerusi gol padang Arun Sahani.
Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan membuat serangan-serangan berbahaya dengan beberapa peluang pukulan sudut penalti. Pakistan mendapat empat peluang manakala India dua tetapi kesemuanya tidak berhasil.
Dalam suku ketiga, Pakistan yang kali terakhir bertanding dalam Piala Sultan Johor pada 2016 dan tewas 1-3 kepada Australia, menaikkan rentak perlawanan dan mendapat sudut penalti pada minit ke-33. Kali ini Sufyan Khan berjaya menyumbat bola ke dalam jaring.
Belum lagi berakhir kegembiraan, India menjadikan kedudukan 2-1 melalui Poovanna Boby Chandura pada minit ke-42 hasil pukulan sudut penalti. Selepas itu, permainan seakan yo-yo dengan Pakistan memperolehi gol padang hasil gerakan Abdul Qayyum untuk kedudukan 2-2.
India, juara Piala Remaja Asia, terus mengasak dengan serangan bertubi ke kubu Pakistan dan kapten India Uttam Singh merembat kencang ke arah pintu gol sebelum terkena kayu pemain Pakistan lalu melantun masuk gol. India 3 Pakistan 2.
Drama penuh aksi itu menyaksikan Pakistan bekerja keras untuk mencari gol dan berhasil tiga minit sebelum perlawanan tamat. Hannan Shahid membuat conversion sudut penalti untuk memaksa perlawanan ke penalti shoot out.