Uttam Singh membantu juara Piala Remaja Asia, India daripada diaibkan oleh musuh tradisi Pakistan apabila kedua pasukan seri 3-3 pada perlawanan pembukaan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya hari ini.

Pakistan yang tewas 1-2 kepada India dalam perlawanan akhir Piala Remaja Asia di Oman Mei lepas, mendahului 3-2 selama 55 minit sehingga jaringan Uttam Singh pada minit ke-59 menerusi gol padang menghancurkan harapan Pakistan.

India, juara bertahan, yg bermain tanpa khidmat Araijeet Singh Hundal, penjaring terbanyak mereka pada Piala Remaja Asia di Oman dengan lapan gol dan sedang menjalani rehalibitasi di India, bermula dengan rentak perlahan manakala Pakistan menguasai suku pertama.

Pengurus pasukan Pakistan Kol (B) Asif Naz Khokhar berkata: “perlawanan sangat menarik dengan tahap hoki yang tinggi. Kita mempunyai banyak peluang dan sepatutnya menang. India bermain cemerlang dan memberi tekanan sehingga minit terakhir. Keseluruhan, saya gembira dengan persembahan kami walaupun kita sepatutnya menang.”

Ketua jurulatih India S.K.Kumar berkata beliau tidak kecewa dengan persembahan pemainnya tetapi gembira melihat kesungguhan mereka mencari gol. Adalah perkara biasa apabila kita bermain perlawanan pertama dalam mana-mana pertandingan. Kita berharap dapat memberi prestasi baik dalam perlawanan seterusnya.

Pakistan mendapat pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-18 tetapi pukulan Muhammad Khan diselamatkan penjaga gol Shashi Mohit.

Laura Amandeep memulakan rentak bagi India dengan menjaringkan gol pada minit ke-30 menerusi pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol Ali Reza. Pakistan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Arbaz Ahmad pada minit ke-31. Arbaz telah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Arbaz tiba dari Pakistan pada awal pagi Jumaat, lapan jam sebelum perlawanan dengan India.

Pakistan kemudian mendahului 2-1 pada minit ke-49 menerusi gol padang oleh ketua pasukan Abdul Shahid tetapi India menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Lalage Aditya Arjun pada minit ke-66 sebelum Arbaz membuat jaringan peribadi kedua dan yang ketiga untuk Pakistan menerusi pukulan sudut penalti.

Bagaimanpun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pertahanan Pakistan tidak membendung asakkan India sehingga Uttam Singh menjaringkan gol penyamaan satu minit sebelum permainan tamat.