India menewaskan New Zealand 3-2 dalam “shootout” selepas perlawanan tamat dengan berkesudahan 2-2 pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC), Sabtu.

Kejayaan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di Johor Baharu menyaksikan India, yang menjadi juara pada 2013, 2014 dan 2022, meraih gangsa sama seperti yang diperolehi tahun lepas.

Pada edisi 2023, perlawanan untuk tempat ketiga dan keempat antara India dan Pakistan berkesudahan 3-3. Dalam shootout, India menang 6-5.

Pasukan Junior Black Sticks pula menyamai pencapaian pada 2014 dengan menduduki tempat keempat.

India mendahului pada minit ke-11 menerusi Dilraj Singh dan Manmeet Singh menambah jaringan sembilan minit selepas itu untuk kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, New Zealand memberi tentangan kuat sehingga menyamakan kedudukan 2-2 dalam tempoh tujuh minit. 

Oven Brown mula membuat jaringan pada minit ke-51 dan Jonty Elmes menyamakan kedudukan pada minit ke-57. Kedua-duanya adalah jaringan padang.

Dalam shootout, Gurgot Singh, Manmeet Singh dan Sourabh Anand Kushwaha menjaringkan untuk India.

Penjaga gol India Bikramjit Singh menjadi wira kerana tiga kali menyelamatkan pintu gol dibolosi oleh pemain New Zealand.