Pertembungan antara India dan Great Britain pada hari kedua Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu telah menyaksikan pesta 10 gol dengan India menang 6-4.

India dan Great Britain masing-masing telah memenangi kejuaraan SOJC sebanyak tiga kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011.

India, di bawah kendalian jurulatih PR Sreejesh, kini menduduki tangga teratas dengan enam mata. Pada Sabtu, Great Britain menewaskan Young Tigers 3-2 manakala India kalahkan Jepun 4-2. India akan bertemu Young Tigers pada Selasa dan dijangka menarik perhatian ramai.

“Sekali lagi kita bermula dengan perlahan dan ini memberi kelebihan kepada Great Britain sehingga mereka menjaringkan gol. Skuad ini masih dalam proses belajar dengan beberapa pemain cuma telah bermain dua perlawanan antarabangsa. Kami yakin dengan keupayaan pasukan ini kerana dapat menjaringkan enam gol dan bolos empat kali,” kata Pengurus India, Chowdlu Babu Janardhana.

“Para pemain telah diberitahu supaya fokus dan menguasai permainan. Ia satu perlawanan yang rancak dengan serangan balas pantas,” katanya.

Bagaimanapun, Great Britain yang terlebih dahulu mendahului dengan jaringan pukulan sudut penalti Rory Penrose pada minit ke-3. Selepas itu, Great Britain seperti hilang momentum sehingga menyebabkan India menyamakan kedudukan pada minit ke-7 juga menerusi pukulan sudut penalti Mohd Dad Konain.

Penrose sekali lagi menghasilkan jaringan beberapa saat sebelum suku pertama tamat dengan Great Britain mendahului 2-1.

Selepas itu, India menyamakan kedudukan pada minit ke-17 hasil jaringan Dilraj Singh. Jaringan yang lain ialah menerusi Sharda Nand Tiwari (ke-20) dan Manmeet Singh (ke-26) untuk kedudukan 4-2.

Michael Royden mendapatkan gol ketiga Great Britain pada awal suku ketiga tetapi Sharda dan Dilraj membuat jaringan pada minit ke-50 untuk India mendahului 6-3 sebelum Royden menjaringkan gol keduanya untuk keputusan muktamad 6-4.

 Pemain Great Britain dan India beraksi dalam Kejohanan SOJC pada hari Ahad lepas. India menang 6-4.

Pemain India Dilraj Singh menjaringkan dua gol menerima anugerah Man of the Match.