Walaupun di Afrika Selatan rakyatnya gembira menyambut kejayaan negara itu menjadi juara Ragbi Piala Dunia, namun pasukan hoki remaja mereka tumbang 1-2 ditangan Great Britain pada perlawanan Kumpulan A Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, di sini Isnin.

Ia merupakan kekalahan kedua Afrika Selatan setelah dibelasah 6-1 oleh Jerman pada perlawanan pembukaan Jumaat.

“Kami menjangkakan satu perlawanan yang susah tetapi saya gembira dengan kemenangan ini,” kata pengurus Great Britain Jon Bleby. “Mereka bermain ofensif dan sepatutnya jaringan tiba lebih awal. Peluang kami ke separuh akhir bergantung kepada perlawanan Australia-Jerman.”

Juara tiga kali Great Britain, dan Afrika Selatan bermain dengan momentum pantas pada dua suku pertama tetapi gagal menyudahkan peluang yang ada. Tom Spreckley gagal menyempurnakan dua sudut penalti dengan  merembat terus kepada penjaga gol Gianluca Virissimo yang dianugerahkan Pemain Terbaik.

Afrika Selatan juga beberapa kali melepasi pertahanan Great Britain dan memperolehi pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-10 tetapi Viwe Mbata melambungkan bola.

Bagaimanapun, formula serangan Great Britain telah menyebelahi mereka pada suku ketiga dan memperoleh gol pertama pada minit ke-43 hasil kecemerlangan Jonny Sturch Hibbitt menghantar bola melepasi penjaga gol Virissimo untuk kedudukan 1-0.

Afrika Selatan cuba membalas dan bermain dengan baik pada suku keempat dan dapat menyamakan kedudukan menerusi gol padang Josh De Klerk tetapi Great Britain memenangi perlawanan 2-1 melalui pukulan sudut penalti. Rory Penrose tidak menghampakan pasukannya.