Jerman bangkit setelah ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan juara dua kali Australia dalam perlawanan sangat menarik pada Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Baharu hari ini.

Australia bermain pantas dan menunjukkan mereka sekali lagi menjadi pasukan pilihan pada kejohanan edisi ke-11 ini.

Dylan Downey menjaringkan gol pertama Australia hasil pukulan penalti sudut pada minit ke-10 dan seminit kemudian Cooper Burns menjadikan kedudukan 2-0 melalui gol padang menewaskan Joshua Onyekwue Nnaji yang terpingga.

Jerman, yang membelasah Afrika Selatan 6-1 pada perlawanan pembukaan mereka, memulakan permainan secara agresif sehingga menjadikan lawan mereka agak tertekan. Tetapi tidak lama selepas itu Australia pula yang menguasai permainan hingga meletakkan pasukan nombor dua dunia itu tertekan.

Jaringan awal daripada Downey dan Burns telah menjejaskan rentak serangan Jerman sehingga terpaksa tercari-cari semula rentak permainan.

Bagaimanapun, Jerman berhasil menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-61. Paul Glander merembat bola menewaskan penjaga gol Max Larkin.

Dengan perlawanan berbaki sembilan minit, Jerman melihat mereka masih mempunyai peluang hingga memaksa Australia yang mendahului 2-1 rasa tertekan. 

Jerman meneruskan momentum sehingga memaksa Australia untuk bertahan. Tindakan itu berjaya memberi hasil apabila Pemain Terbaik Luis Hoechemer membuat jaringan padang pada minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

“Saya rasa perlawanan ini berakhir penuh dramatik. Kita amat gembira dengan cara kita kembali memberi tentangan,” kata ketua jurulatih Jerman Rein Van Eijk. “Kita bangkit pada suku keempat untuk membuat jaringan.”

Jerman dan Australia kini masing-masing berkongsi empat mata dan Great Britain tiga mata. Esok, Jerman akan bertemu Great Britain manakala Australia berjumpa Afrika Selatan bagi perlawanan terakhir Kumpulan A.