Jerman, juara Piala Sultan Johor 2012, terpaksa menggunakan segala ilmu yang ada untuk menundukkan Great Britain 4-3 di Stadium Hoki Taman Daya, Selasa.

Sebelum perlawanan bermula, Jerman dan Australia masing-masing mengutip empat mata tetapi Jerman ditangga teratas kerana kelebihan jaringan. Great Britain di tempat ketiga dengan tiga mata manakala Afrika Selatan paling bawah tanpa sebarang mata berikutan dua kekalahannya.

Berikutan kemenangan ini, Jerman mengutip tujuh mata.

Great Britain yang mula menjaringkan gol pada minit ke-4 permainan. Rory Penrose membuat flick paras lutut terus kepada penjaga gol Jerman, Onyekwue Nnaji Joshua yang berjaya menampan bola. Jonny Sturch Hibbitt yang berada di depan pintu gol berjaya merampas bola yang melantun dan terus merembat masuk untuk memberi juara tiga kali itu mendahului 1-0.

Aksi kemudian berpindah kepada Jerman yang merupakan pasukan nombor dua dunia. Mereka mendahului 2-1 menerusi pukulan sudut penalti oleh Jakob Brilla dan Paul Glander, masing-masing pada minit ke-20 dan ke-33. Ia merupakan gol kedua Glander pada kejohanan kali ini.

Jerman mendapat empat pukulan sudut penalti manakala Great Britain juga mendapat jumlah yang sama setelah suku ketiga berakhir. Pemain Jerman Florian Sperling dinobatkan Pemain Terbaik.

Great Britain bertindak garang membuat serangan pada suku keempat sehingga menimbulkan masalah kepada Jerman. Kali ini Tom Moorhouse menjaringkan gol kedua pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Tetapi aksi penuh drama itu tidak terhenti di situ. Jaringan pemain Jerman Michel Struthoff (minit ke-52) menjadikan kedudukan 3-2 dan beberapa saat selepas itu, Henry Markham menyudahkan pukulan sudut penalti Great Britain menjadikan 3-3.

Aksi penuh drama itu tiba-tiba terhenti apabila Florian Sperling membuat jaringan padang dengan hanya perlawanan berbaki empat minit untuk kedudukan 4-3.