Setelah berakhirnya tempoh yang amat mencabar akibat pandemik coronavirus, kejohanan hoki Piala Sultan Johor 2022 kini dilangsungkan semula dan kali ini dengan sentuhan ajaib dan kemeriahan di Stadium Hoki Taman Daya di sini.

Dengan menampilkan enam buah negara, Piala Sultan Johor merupakan satu-satunya kejohanan hoki jemputan remaja di dunia dan tahun ini merupakan sambutan edisi ke-10.

Sejak dimulakan pada 2011, lima negara telah berjaya memenangi piala itu. Great Britain merupakan pasukan yang paling cemerlang dengan memenangi kejuaraan itu tiga kali. India dan Australia, masing-masing telah memenangi dua kali, diikuti oleh Jerman dan Malaysia, masing-masing satu kali.

Pasukan Remaja Malaysia di bawah bimbingan Amin Rahim, akan menjadi fokus kalangan peminat hoki tempatan dengan harapan dapat menjuarai kejohanan itu sekali lagi setelah gagal dalam lapan edisi sebelum ini. Malaysia menjadi juara pada kejohanan edisi pertama.

Kejohanan Piala Sultan Johor edisi ke-10 yang sememangnya dinanti-nanti akan bermula Sabtu, 22 Oktober. Pembuka tirai ialah Australia dan Jepun (4 petang) diikuti pertemuan Great Britain dan Afrika Selatan (6 petang) dan perlawanan yang ditunggu antara Malaysia dan India (8.30 malam).

Pasukan India tiba dengan tujuh pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja 2021 dan empat pemain yang telah menyertai kejohanan Piala Sultan Johor 2019. India, dibawah kendalian jurulatih C.R.Kumar, sudah tentu mempunyai skuad yang mantap dan merupakan pencabar utama kepada Great Britain, Australia, Afrika Selatan, Jepun dan Malaysia.

Bagaimanapun, persembahan India agak mengecewakan pada kejohanan tahun 2018 dan 2019 apabila tewas 2-3 pada perlawanan akhir 2018 dan kalah 1-2 pada 2019, kedua-duanya kepada Great Britain. Kali ini, India akan cuba untuk memperbaiki nasib mereka.

Sebagai juara bertahan, Great Britain telah menetapkan sasaran untuk memenangi kejuaran buat kali yang keempat setelah cemerlang pada 2015, 2018 dan 2019.

Bagaimanapun satu lagi nama besar di kejohanan ini, Australia turut sama-sama ghairah untuk mengekalkan momentum menjadi pencabar utama untuk merebut semula kejuaraan yang pernah mereka menangi pada 2016 dan 2017.

Setelah memenangi pingat gangsa pada 2016 tetapi tempat keempat pada 2018 dan 2019, Jepun juga ingin berada pada landasan yang betul untuk menebus maruah dengan barisan pemain baru, sama seperti lima pasukan lain.

Ketua jurulatih Malaysia, Amin berkata: “Ia adalah satu cabaran besar bagi kita kerana kita berdepan dengan pasukan-pasukan yang kuat. Hampir 14 pemain, buat kali pertama, akan bermain dalam kejohanan besar manakala empat orang telah bermain dalam Piala Asia.

“Kejohanan Piala Sultan Johor merupakan bahagian penting dalam program kita kerana kita akan menganjurkan Piala Dunia Remaja tahun depan. Pengalaman yang diperolehi di sini amat berguna kepada pemain,” katanya.

Pemain yang paling muda dalam pasukan Malaysia ialah Andy Walfian Jeffrynus yang berusia 16 tahun.

Pengurus pasukan Afrika Selatan, Kagiso Mathaba berkata pasukannya akan cuba menghalang kemaraan Great Britain dan berharap akan mendapat keputusan yang baik.

“Ini kali pertama kami menyertai Piala Sultan Johor. Kami amat menghargai jemputan yang diberikan. Kami terpaksa berhati-hati dan berdisiplin sepanjang perlawanan nanti kerana Great Britain merupakan pasukan yang sangat bagus,” katanya.