New Zealand mengalahkan Afrika Selatan 3-1 pada perlawanan playoff ke-5 hingga 8 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Khamis.
Mereka akan bertemu pemenang playoff kedua antara Malaysia dan Great Britrain pada perlawanan klasifikasi ke-5 dan 6 pada Sabtu.
Afrika Selatan mempersembahkan permainan hoki yang menarik. Afrika Selatan sepatutnya membendung barisan serangan Kiwi tetapi mereka yang membuat jaringan awal pada minit ke-14.
Gol itu terhasil daripada gerakan bijak Damien Knott yang menyilangkan bola kepada Viwe Mbata untuk merembat masuk menewaskan penjaga gol Hayden Ganley.
Selepas itu, New Zealand mendominasi permainan dan Jonty Elmes membuat jaringan dengan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Gianluca Virissimo beberapa saat sebelum suku pertama tamat untuk kedudukan 1-1.
New Zealand yang menduduki tempat keempat pada Piala Sultan Johor 2014 memulakan suku ketiga dengan melancarkan serangan dan menyumbat dua gol lagi. Sam Lints melebarkan kedudukan 2-1 pada minit ke-36 dan gol ketiga oleh Gus Nelson pada minit ke-47.
Kapten Kiwi Benjamin Culhane dihadiahkan sebagai pemain terbaik. Anugerah itu disampaikan oleh Datuk Seri N. Sri Shanmuganathan, kapten pasukan hoki negara pada Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.