Great Britain terpaksa bekerja keras sebelum menang 5-3 dengan New Zealand dalam perlawanan untuk tempat kelima Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Sabtu.

Great Britain, yang gagal layak ke Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur bulan depan setelah menduduki tempat keenam pada Kejohanan Remaja Eropah, ketinggalan pada minit ke-2 menerusi gol padang Jordan Whittleston. Bagaimanapun, Great Britain menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi penerima anugerah Pemain Terbaik perlawanan, Henry Markham.

Selepas gol penyamaan itu, tiada apa yang dapat menghalang anak didik Jon Bleby. Juara tiga kali Piala Sultan Johor itu (2015, 2018, 2019) menjaringkan empat gol daripada suku kedua hingga empat.

Penyerang Jonny Sturch Hibbitt menjaringkan gol kedua (minit ke-23) diikuti Harrison Stone (ke-33), Felix Tully (ke-37) manakala Henry pada minit ke-54. Kiwis memberi tentangan pada lewat permainan dan menjaringkan dua gol menerusi Sam Lints (ke-58) dan Jonty Elmes (ke-59)

Ini merupakan penyertaan ketujuh New Zealand pada Piala Sultan Johor dan sekali lagi mereka gagal ke podium. Pencapaian terbaik mereka ialah tempat keempat pada 2014.