Pasukan Remaja Kebangsaan yang mempamerkan permainan cantik sekali lagi terpaksa akur dengan nasib apabila kalah tipis 1-2 kepada Great Britain pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.

Great Britain yang menyedari bahawa mereka memerlukan kemenangan untuk menghidupkan harapan ke final, mengasak kubu lawan sebaik wisel dibunyikan tetapi barisan pertahanan Remaja Kebangsaan tetap teguh.

Bagaimanapun, Great Britain mendapat penalti strok pada minit ke-15 dan Kaden Draysey menyempurnakannya.

Dua minit kemudian, Che Nur Aqilrullah membuat jaringan padang untuk menyamakan kedudukan 1-1 dan ia kekal sehinggalah tamat separuh masa pertama.

“Kita tidak bermula dengan baik pada suku pertama. Kita telah memberikan satu pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya. Daripada pukulan sudut penalti itu, kita bagi pula penalti strok. Mereka telah mendahulu tetapi kita mempunyai keupayaan untuk menyamakan kedudukan. Great Britain menggunakan permainan fizikal dan pemain kita tidak dapat menandinginya,” kata ketua jurulatih I. Vikneswaran.

“Mungkin ini pengalaman pertama mereka bermain dengan pasukan dari Eropah. Mereka perlu belajar daripada pengalaman ini dan jangan diulang kesilapan. Perlawanan seterusnya ialah dengan Australia. Mereka telah kalahkan India tetapi saya melihatnya sebagai peluang untuk kita bermain sebagai persiapan Piala Remaja Asia,” katanya.

Separuh masa kedua memperlihatkan Great Britain berusaha mencari ruang dan peluang. Mereka mendapat empat lagi pukulan sudut penalti, menjadikan tujuh kesemuanya dalam perlawanan itu.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Mohamad Rafaizul Saini yang cemerlang menghalang semua percubaan Great Britain.

Suku keempat menyaksikan Great Britain berusaha mencari gol kemenangan. Misi mereka berjaya pada minit ke-53 apabila Neave menyelitkan bola melepasi Rafaizul dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol untuk kedudukan 2-1.

Gol itu mengancurkan harapan para pemain Young Tigers tetapi mereka boleh mendabik dada kerana telah memberikan persembahan yang menarik dan cemerlang.

Setelah berakhirnya hari keempat kejohanan, India masih ditangga teratas dengan sembilan mata, diikuti New Zealand lapan mata, Australia (7), Great Britain (7),  Jepun (3) dan Remaja Kebangsaan tanpa sebarang mata.

Penjaga gol Malaysia Mohamed Rafaizul Saini menerima anugerah Man of the Match

Pemain Malaysia dan Great Britain beraksi dalam perlawanan  SOJC. Great Britain menang 2-1