Skuad Remaja Kebangsaan mengakhiri cabaran mereka di kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di tempat keenam apabila tewas 0-3 kepada Jepun dalam “shootout” setelah permainan sepenuh masa tamat dengan 2-2 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.

Malaysia seolah akan mencatat kemenangan pertama mereka pada kejohanan ini apabila mendahului 2-1 menerusi jaringan Che Nor Aqilrullah (ke-33) dan Harris Osman (ke-50) selepas Yuto Higuchi menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Dengan hanya tinggal dua minit untuk perlawanan tamat, pertahanan Malaysia terbuka luas dan Jepun mendapat  penalti strok. Jun Watanabe dengan tenang menghantar bola ke dalam jaring menewaskan penjaga gol Mohamad Rafaizul Saini.

Dalam shootout untuk menentukan tempat kelima dan keenam itu, Higuchi, Jota Nakajima dan Yamato Kawahra berjaya menjaringkan gol untuk Jepun.

“Jika anda menyaksikannya, ia adalah perlawanan yang kita patut menang. Kita mendapat banyak pukulan sudut penalti dan penguasaan bola. Kita mempunyai segalanya. Tetapi dihujung permainan, kita melakukan kesilapan dan ia amat berharga. Mereka merebut peluang dengan kesilapan yang kita lakukan pada dua minit terakhir sehingga dapat menyamakan kedudukan,” kata ketua jurulatih Young Tigers I.Vikneswaran.

“Kita perlu memperbetulkan kesilapan-kesilapan ini. Kita boleh bermain dengan baik dan mendahului tetapi dalam sukan hoki, daya ketahanan itu penting,” katanya.

“Kita telah memberi penalti strok yang mudah yang saya rasa boleh dielakkan,” tambahnya.

Mengenai persiapan mereka untuk Piala Remaja Asia di Oman hujung November ini, beliau berkata dengan hanya tinggal tiga minggu sebelum kejohanan bermula, mereka akan berlatih untuk memperbetulkan mana-mana kelemahan.

“Kita menyaksikan pasukan-pasukan bertaraf dunia di Johor Baharu. Mereka telah memaklumkan banyak perkara. Kita akan mengambil kira semua informasi yang diberikan untuk membuat pembaikan. Kita telah banyak mendapat pukulan sudut penalti tetapi kadar jaringannya terlalu rendah,” kata Vikneswaran.