New Zealand memperkukuhkan kedudukannya untuk ke final apabila menewaskan Jepun 3-1 pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu, Rabu.

Ketiga-tiga gol Junior Black Sticks ialah menerusi jaringan hatrik Jonty Elmes pada minit ke-8, ke-33 dan penalti strok pada minit ke-20. Elmes ialah pemain ketiga pada kejohanan kali ini yang telah membuat hatrik selepas Ian Grobbelaar dan Daykin Stagner dari Australia.

Jaringan Elmes itu merupakan gol ketujuhnya dalam empat perlawanan. Dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Malaysia dan masing-masing satu gol menentang Australia dan Great Britain.

“Saya tidak puas hati dengan persembahan pemain terutama pada separuh masa kedua. Kita mempunyai beberapa pukulan sudut penalti dan nasib baik kita dapat menjaringkan dua,” kata jurulatih New Zealand Aaron Ford.

“Kita mahukan permainan yang bercorak serangan dan agresif,” kata beliau.

Berikutan kemenangan itu, New Zealand berada di tempat kedua dengan lapan mata, kurang satu mata daripada pendahulu India.

Berusia 19 tahun dan berasal dari Napier, Elmes bermain kali pertama untuk Black Sticks pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Ipoh dan memenangi pingat gangsa. Dia juga disenaraikan dalam skuad senior untuk Piala Negara-negara FIH di Gniezno, Poland. Ini juga merupakan penyertaan keduanya dalam SOJC.

Gol tunggal Jepun dijaringkan oleh kaptennya, Yamato Kawahara menerusi gol padang pada minit ke-59.

 Pemain Jepun dan New Zealand merebut bola

 ketika beraksi dalam Kejohanan SOJC di Johor Bahru. New Zealand menang 3-1

Jonty Elmes dari New Zealand menerima anugerah Man of the Match dari En. Hashim Mohamed Yusoff