Juara bertahan India akan memberi tumpuan terhadap formula untuk mencapai kemenangan apabila menentang New Zealand di Stadium Hoki Taman Daya di sini, Isnin.
Ini kerana anak didik jurulatih C.R.Kumar akan bermain di padang yang tidak asing bagi mereka di mana India menjadi juara tiga kali ( 2013, 2014 dan 2022) dan naib juara empat kali (2012, 2015, 2018 dan 2019).
New Zealand yang menang tipis 3-2 ke atas Malaysia dan tewas 2-3 kepada Pakistan, akan menentang juara Piala Remaja Asia itu sebagai underdog memandangkan reputasi India sebagai pasukan nombor tiga dunia dan antara pasukan kuat yang menyertai Piala Sultan Johor edisi ke-11 ini.
Kejohanan ini juga dianggap sebagai persiapan bagi pasukan-pasukan menjelang Piala Dunia di Stadium Hoki Bukit Jalil Disember ini.
“Kami telah bertemu dengan pasukan-pasukan kuat iaitu Pakistan (3-3) dan Malaysia (3-1) dan kami jangka New Zealand juga setanding. Separuh daripada pasukan-pasukan Piala Dunia Remaja bertanding di sini dan setiap perlawanan dianggap sukar,” kata Kumar.
“Selain daripada ketua pasukan Uttam (Singh) yang bermain dalam kejohanan ini, setengah daripada skuad adalah masih mentah terutama barisan serangan dan mereka masih boleh bermain pada Piala Dunia akan datang,” kata beliau, sambil menambah terdapat cukup pemain dalam skuad pelapis untuk mengisi kekosongan.
“Kami menghormati setiap pasukan dalam kejohanan ini dan misi kita ialah untuk layak ke separuh akhir. Untuk itu, kita perlu menang dengan New Zealand,” katanya.
Jurulatih New Zealand Aaron Ford berkata para pemainnya sudah bersedia daripada segi mental dan akan bermain mencari kemenangan.
“Rehat sehari banyak membantu pemain setelah menghadapi perlawanan sengit dengan Pakistan dan Malaysia. Saya amat gembira dengan prestasi pemain. Dalam kedua-dua perlawanan itu, kami memperolehi momentum dalam suku terakhir dan ia agak terlambat,” kata Ford.
Dalam perlawanan lain yang dijadualkan Isnin, perlawanan antara juara dua kali Australia menentang pemenang 2012, Jerman dijangka menarik manakala pertemuan Great Britain dengan Afrika Sekatan akan menyaksikan kedua-dua pasukan mencari mata pertama.
Afrika Selatan tewas 1-6 kepada Jerman manakala Great Britain tumpas 0-3 kepada Australia pada perlawanan permulaan.