Pakistan berharap dapat menjinakkan India pada perlawanan pembukaan edisi ke-11 Piala Sultan Johor bermula Jumaat (27 Okt) di Stadium Hoki Taman Daya.

Kali terakhir dua musuh ketat itu bertemu ialah pada final Piala Remaja Asia 2023 di Oman baru-baru ini. India menang 2-1 untuk menggondol pingat emas.

“Lazimnya, Pakistan dan India akan bermain hoki yang menarik. Perlawanan menentang India pada Piala Remaja Asia sangat menarik walaupun kita tewas 1-2 pada final. Pendedahan dan pengalaman itu amat berguna kepada pemain dan saya yakin pasukan ini akan berusaha ke arah nasib yang lebih baik kali ini,” kata pengurus pasukan Pakistan Kol (B) Asif Khokhar.

Kali terakhir Pakistan menyertai Piala Sultan Johor ialah pada 2016. Mereka tewas 1-3 kepada Australia pada final.

“Dalam tiga tahun ini, sukan hoki di Pakistan sedang meningkat dan program pembangunan remaja membuahkan hasil. Kami amat gembira dapat bertemu pasukan-pasukan handal dalam kejohanan ini memandangkan Piala Sultan Johor merupakan persiapan akhir untuk Piala Dunia Remaja iaitu enam minggu lagi,” kata Kol (B) Asif.

“India sememangnya merupakan pasukan kuat dan perlawanan menentang mereka selalu sukar. Saya menjangkakan keadaan yang serupa akan berlaku bila kedua-dua pasukan bertemu esok,” katanya, sambil menyaksikan pasukannya berlatih di bawah jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans.

“Kami melalui perjalanan yang jauh dan amat meletihkan sebelum sampai di Kuala Lumpur. Kami menaiki bas ke Johor Baharu dari KLIA dan sampai di hotel 4 pagi. Kami hanya dapat membuat satu latihan sebelum menentang India. Para pemain telah melalui latihan yang baik walaupun kita inginkan tiga sesi latihan,” kata beliau.