Skuad Remaja Kebangsaan mempamerkan persembahan cemerlang mereka tetapi kurang bernasib baik apabila tewas 2-4 kepada India pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu.
Dengan sokongan daripada kira-kira 3,000 penonton, skuad negara membuktikan kehebatan mereka untuk menyaingi India sehingga mendahului 2-0.
Ketua jurulatih remaja kebangsaan I.Vikneswaran berkata: “Kita mendahului 2-0 tetapi membenarkan India menjaringkan dua gol. Ramai yang memberitahu kami supaya jangan banyak dibolosi. India terlalu bagus. Seperti yang pernah saya maklumkan, kita perlu melihat daripada dua sudut. Pertama ialah SOJC dan kedua pula Piala Remaja Asia (JAC).”
“Kita akan bertemu India juga di JAC nanti. Ini kesilapan ketiga kita dalam kejohanan ini. Tidak ada gunanya untuk bertahan. Kita mahu permainan yang banyak menyerang. Menentang Jepun kita tidak bermain dengan baik dan mengakui kekalahan itu. Hari ini mereka mengikut perancangan dan memberi tentangan hebat,” katanya.
“Cuma yang berlaku ialah apabila kita menjaringkan dua gol, kita membiarkan pula mereka membuat dua jaringan. Inilah namanya pengurusan permainan. Mereka perlu belajar menguruskan diri bila di atas padang. Saya mengakui mereka telah memberikan segalanya berdepan India,” kata Vikneswaran.
Jelas sekali Young Tigers kelihatan pasukan yang lebih mantap dengan keinginan menunjukkan taring dalam perlawanan ketiga mereka menentang pasukan nombor dua dunia itu.
Muhammad Danish Aiman mengejutkan India dengan jaringan padang pada minit ke-8 dengan meletakkan bola melepasi penjaga gol Bikramjit Singh selepas keadaan kelam kabut di depan gol.
Seminit selepas iitu, skuad Remaja Kebangsaan menambah kerisauan India apabila Harris Osman menjaringkan gol kedua dalam keadaan serupa untuk kedudukan 2-0.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama banyak dalam suku pertama. Bagaimanapun, India membuat jaringan pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti oleh Sharda Tiwari Nand untuk kedudukan 2-1.
Dua minit kemudian, Arshdeep Singh menewaskan penjaga gol Rafaizul Mohamad Saini untuk India menyamakan kedudukan. Dua lagi gol India ialah daripada Priyobarta Talem (ke-39) dan Rohit (ke-40) untuk keputusan akhir 4-2.
Pemain Malaysia Andywalfian Jeffrynus (kanan) berebut bola pada perlawanan India-Malaysia pada Selasa.
Pemain India Rohit menerima anugerah Man of the Match dari Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor En. Paramjit Singh