Skuad remaja negara wajib menang ke atas India andai mahu melayakkan
diri ke penentan tempat ketiga dan keempat dalam aksi terakhir ’round
robin’ Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada
Jumaat.
Justeru ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menuntut barisan
pemain lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan corak permainan
skuad kendalian PR Sreejesh yang turut memburu kemenangan untuk
melayakkan diri ke pentas final.
“Bagi aksi menentang India, kita akan menggunakan pendekatan taktikal
permainan yang sama dan tidak akan memandang remeh kelebihan yang
mereka ada. Kita kena fokus dan bermain secara berhati-hati kerana lawan
ada kekuatan yang hebat.
“Kami perlu bermain dengan kemampuan sedia ada dan akan
meningkatkan intensiti permainan. India juga mungkin akan menggunakan
kepantasan mereka, jadi kita tidak boleh beraksi terlalu ke bawah kerana ia
cukup berbahaya.
“Kami juga perlu lihat dan bertindak segera jika India bermain secara
pantas. Peragakan aksi konsisten sepanjang permainan dan elak daripada
memberi terlalu mudah PC (pukulan sudut penalti),” katanya.
Skuad Young Tigers sudah mengutip empat mata untuk berada di tangga
kelima selepas mengharungi empat perlawanan.
India selaku juara edisi 2022 yang tewas 2-4 di tanga Australia pada Rabu
kini mengumpul tujuh mata, pastinya akan turun habis-habisan memburu
kemenangan untuk layak ke final, selain mengelak daripada di pintas
Britain yang ketinggalan satu mata.
Nor Saiful Zaini juga mengakui pemain India sangat tajam dan mempunyai
kebolehan yang lebih tinggi daripada skuad muda negara.
“Kami akui perkara itu. Jadi kita perlu bermain sebagai satu pasukan, bantu
antara satu sama lain. Elak daripada melakukan kesilapan sama ketika
tewas 1-4 kepada Britain,” katanya.
Menyentuh mengenai isu PC, beliau menegaskan bahawa masalah sama
turut dihadapi oleh kesemua pasukan mungkin disebabkan atas faktor
keadaan padang.
“Kami ada PC, tetapi kami perlu lihat keadaan padang yang ada sedikit
masalah. Namun, saya tahu semua orang (pemain) juga menghadapi
masalah dengan padang.
“Kami ada PC, tetapi tidak menjaringkan gol. Andai ada gol, barulah kami
boleh mengimbangi permainan lawan. Apapun ia bukan alasan, kami akan
berikan yang terbaik,” katanya.