Young Tigers telah menunjukkan keberanian dan kegigihan menentang Pakistan walaupun tewas 2-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Selasa.

Anak didik Amin Rahim ketinggalan 0-3 setelah 24 minit perlawanan dan setelah memperbaiki beberapa kesilapan awal, mereka kembali garang menjaringkan dua gol pada suku keempat untuk merapatkan jurang. Cuma masa menjadi penghalang apabila permainan ditamatkan dan setakat itu sahaja usaha keras young tigers dapat lakukan.

Kapten skuad remaja Faris Harizan dan pemain pertahanan Wan Muhammad Najmie telah sembuh daripada kecederaan dan kehadiran mereka memberi kesan memandangkan lawan mereka bukan calang pasukan. Di Oman, Malaysia tumpas 2-6 kepada Pakistan dalam Piala Remaja Asia.

“Kita kerap menembusi pertahanan lawan serta banyak mendapat pukulan sudut penalti dalam kesemua tiga perlawanan tetapi gagal menyumbat bola ke dalam jaring. Itulah masalah besar kita yang perlu diatasi dalam beberapa minggu ini,” kata Amin.

“Mereka bermain tidak berapa baik selama 30 minit dan pada waktu rehat, saya memberi semangat secara agresif selama 10 minit dalam bilik persalinan dan mereka keluar untuk mencari seri. Itulah sikap yang saya inginkan dalam Piala Dunia Remaja,” katanya.

Malaysia memulakan permainan dengan menarik tetapi gagal membuat jaringan walaupun mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-4. Flik Shahmie Irfan Suhaimi diselamatkan oleh penjaga gol Abdul Sajid, yang dinamakan sebagai pemain terbaik.

Sebaliknya, Pakistan pantas menukar kepada permainan corak laju. Suku pertama kelihatan seimbang sehinggalah Abuzar menjaringkan gol padang pada minit ke-13 untuk Pakistan.

Mereka menguasai semula permainan pada minit ke-21 dan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Arbaz Ahmad sebelum Muhammad Khan menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-24 menerusi pukulan sudut penalti keenam mereka. 

Dengan sokongan kira-kira 2,000 penonton, Malaysia jelas nampak lebih komited untuk menyerang dengan harapan merapatkan jurang. Tanpa belas kasihan, mereka seolah seperti pemburu mencari mangsa. Pakistan terpaksa bertahan beberapa kali. Faris dan “rakan pemburu” lain menyerang bertali arus pada suku ketiga.

Malaysia mendapat lapan pukulan sudut penalti dalam suku ketiga dan keempat dan hanya dapat menjaringkan satu. Shahmie Irfan menghasilkan jaringan pada minit ke-48 dan Shafiq Ikhmal Daniel menjaringkan gol kedua pada minit ke-51.

Abdul Sajid bermain cemerlang untuk menggagalkan enam percubaan daripada sudut penalti serta beberapa percubaan dekat Malaysia.