Tuan rumah Malaysia mengalami kekalahan 1-3 kepada juara bertahan India dalam perlawanan “mesti menang” pada Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Sabtu.

Kekalahan dua kali berturut oleh young tigers yang bersemangat bermakna anak didik jurulatih Amin Rahim, yang memenangi kejuaraan itu pada 2011, gagal untuk menempah tempat ke separuh akhir. Malaysia gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan setelah tewas 2-3 kepada New Zealand dalam perlawanan pertama mereka.

Pasukan remaja negara akan bertemu dengan Pakistan pada hari Selasa.

“Kami menjangkan perlawanan yang sukar. Saya sangat gembira dengan komitment yang ditunjukkan pemain. Beberapa pemain mengalami kecederaan tetapi mereka harus diberi pujian kerana bermain bersungguh-sungguh mencari gol. Saya rasa kita telah memberi India tentangan. Cuma kita kurang bernasib baik tidak dapat membuat jaringan daripada banyak peluang yang diperolehi. Ia satu permainan yang terbuka,” kata Amin.

Pasukan Malaysia agresif pada suku pertama sehingga India gagal untuk membendungnya. Shahmie Irfan Suhaimi memecah kebuntuan dan memberi harapan dan keyakinan kepada 3,000 penyokong apabila dia berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

India, pemenang Piala Sultan Johor sebanyak tiga kali dan juara Piala Remaja Asia, kelihatan buntu. Gol pendahuluan ke atas pasukan nombor tiga dunia itu bukan satu kejutan kerana para penyokong menjangka skuad negara pasti bermain garang setelah tewas tipis 2-3 kepada New Zealand pada Jumaat.

India sentiasa yakin mencari peluang menerusi penyerang Angard Bir Singh dan Lalage Aditya Arjunn tetapi kerap digagalkan penjaga gol Muhamad Rafaizul yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, kegembiraan kem Malaysia dan para penyokong tidak bertahan lama. India tidak mengambil masa lama untuk menyamakan kedudukan.

India yang seri 3-3 dengan musuh ketat Pakistan pada perlawanan pembukaan menunjukkan permainan yang teratur dan kemas setelah beberapa percubaan mereka gagal pada suku pertama.

Lalage Aditya membuat jaringan padang pada minit ke-28 untuk menyamakan kedudukan dan Lakra Amandeep merembat bola masuk pada minit ke-37 hasil sudut penalti manakala Rohit menambah pedih pada luka dengan jaringan ketiga juga dari sudut penalti.

Pasukan Malaysia tidak berputus asa. Mereka terus menguji barisan pertahanan India dan berjaya menembusi beberapa kali tetapi gagal membuat jaringan.