Pertemuan Great Britain dan Australia pada perlawanan ketiga Kejohanan
Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada Selasa ibarat final
ulangan buat kedua-dua pasukan.
Edisi lalu menyaksikan gelaran juara menjadi milik Great Britain setelah
mengalahkan Australia 3-2 dalam aksi final yang berlangsung sengit di
Stadium Hoki Johor, Taman Daya.
Pengendali Great Britain, Jon Bleby menyifatkan kejuaraan yang diraih
musim lalu itu sebagai momen indah buat pasukan.
Namun katanya, kejayaan tersebut bukan diraih dengan mudah, sebaliknya
sering mendapat tentangan sengit Australia.
“Kami mengalahkan mereka dua kali. Bermula dengan saingan di peringkat
kumpulan dan kedua ketika perlawanan akhir. Teruja untuk berdepan
dengan Australia kerana ia akan menjadi satu aksi yang menarik.
“Australia adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dikalahkan. Jadi kami
tahu, ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Namun para pemain ketika
ini berada pada tahap keyakinan yang baik,” katanya.
Dalam aksi kedua pada Ahad, Great Britain menumpaskan Pakistan 5-1,
manakala Australia pula diikat Malaysia 1-1.
Bleby yang sudah bersama pasukan itu selama enam tahun bukan nama
asing dalam saingan SOJC apabila meraih gelaran sebanyak empat kali iaitu
pada edisi 2024, 2019, 2018 dan 2015.
Australia pula merangkul kejuaraan kejohaan bawah 21 tahun (B-21) itu
pada dua edisi berturut-turut iaitu tahun 2016 dan 2017.
Kapten skuad muda Great Britain, Max Anderson bangga dengan aksi
cemerlang rakan sepasukan ketika menewaskan Pakistan 5-1 pada aksi
kedua pada Ahad.
Beliau mendedahkan bahawa mereka bergerak sebagai satu pasukan dan
menterjemahkan semua taktikal yang diterapkan oleh jurulatih, Jon Bleby.
Bagaimanapun katanya, kejayaan tersebut bukan diraih dengan mudah
kerana Pakistan memberikan saingan yang sangat hebat.
“Kami beraksi cemerlang. Rakan sepasukan memberikan segala-galanya.
Ini adalah persembahan pasukan yang hebat.

“Kami memulakan perlawanan dengan baik, namun Pakistan memberikan
tentangan yang sengit. Mereka menyerang dan terus memberi tekanan
kepada kami. Pertahanan kami juga beraksi dengan baik. Kami perlukan
kemenangan dan ia berhasil,” katanya.
Kecemerlangan Anderson mengemudi pasukan berbaloi apabila dia
dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Great Britain yang merangkul kejuaraan pada musim lalu bermula dengan
langkah kiri apabila tewas di tangan India 2-3 dalam aksi pertama pada
Sabtu.
Peluang rehat pada Isnin dimanfaatkan oleh Anderson bersama rakan
sepasukan untuk mengembalikan semula kekuatan fizikal dan mental
menjelang perlawanan ketiga menentang Australia pada Selasa.
“Hari rehat yang sangat diperlukan, mungkin berendam di kolam renang
dan kemudian kami akan bermain lagi pada Selasa. Kami akan bersedia
sepenuhnya,” katanya.