Australia tampil bertenaga untuk menewaskan Great Britain 2-0 dalam aksi
ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Taman Daya, Johor
Bahru pada Selasa.
Kemenangan tersebut amat bermakna kerana ia menebus kekecewaan
Australia yang tewas 2-3 dalam aksi final edisi lalu.
Australia memulakan aksi dengan agresif apabila mengasak setiap sudut
benteng Great Britain untuk memburu gol awal.
Serangan bertali arus skuad bimbingan Jay Stacy itu membuahkan hasil
apabila Duncan Jackson menyempurnakan dengan baik hantaran Lucas
Toonen menuju wisel penamat suku pertama.
Great Britain yang dibimbing Jon Bleby cuba bangkit mengatur semula
strategi permainan, namun benteng Australia ampuh bertahan.
Australia yang masih belum berpuas hati dengan satu jaringan terus
mengandakan gerakan dan penjaga gol Great Britain, Calum Douglas sekali
lagi tewas di gawang.
Kali ini tiba giliran Ian Grobbelaar yang meledak jaringan hasil pukulan
sudut penalti pada minit ke-51 dan keputusan tersebut kekal sehingga
wisel penamat.
Dalam pada itu, penjaga gol Australia, Magnus Maccausland yang
dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui ia amat
bermakna dan gembira dengan pengiktirafan tersebut.
“Ia satu aksi yang sengit, namun saya dibantu rakan sepasukan dapat
mengawalnya dengan baik dan tidak membenarkan lawan menghasilkan
gol. Kami akan terus memberikan yang terbaik selepas ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Australia merapatkan jurang kemenangan
ke atas Great Britain kepada 4-5 dan dua kali seri daripada 11 perlawanan
sejak menyertai SOJC pada 2014.
Great Britain dalam aksi pertama tumpas di tangan India 2-3 sebelum
bangkit menewaskan Pakistan 5-1, manakala Australia menang ke atas
New Zealand 4-0 dan terikat 1-1 dengan pasukan tuan rumah, Malaysia.
Dalam aksi keempat pada Rabu, Great Britain akan menentang skuad muda
negara pada jam 6.15 petang, sementara Australia pula bakal berentap
dengan India pada jam 8.35 malam.
