Jay Stacy enggan meletakkan sasaran tinggi biarpun Australia memperagakan aksi cemerlang apabila mara ke pentas final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) tiga kali berturut-turut.
Sebaliknya jurulatih berusia 57 tahun itu mahu fokus untuk mempersiapkan pasukan menuju Piala Dunia Remaja 2025 di India akhir tahun ini.
“Kami mahu membentuk skuad ampuh untuk Piala Dunia Remaja. Jadi kami memberi peluang kepada semua pemain untuk sesi pemilihan sebelum diserap ke dalam pasukan.
“Pemain telah bekerja keras. Fokus kami untuk kejohanan ini ialah langkah demi langkah dan pergi sejauh mungkin,” katanya.
Australia akan membuka tirai kejohanan menentang New Zealand pada Sabtu 11 Oktober, disusuli berdepan pasukan tuan rumah, Malaysia keesokkannya.
Juara bertahan Great Britain menjadi cabaran Australia dalam aksi ketiga pada Selasa, 14 Oktober dan menentang India keesokkannya sebelum menutup tirai saingan berdepan Pakistan pada Jumaat, 17 Oktober.
Dua pasukan terbaik akan membuat perhitungan di pentas akhir pada Sabtu, 18 Oktober.
Sebagai rekod, pada edisi lalu skuad bimbingan Stacy selangkah untuk bergelar juara, namun dinafikan oleh Great Britain yang menang 3-2 dalam aksi final.
Nasib sama turut menimpa mereka pada edisi 2024 apabila tumpas di tangan Jerman 2-3 menerusi penentuan ‘shoot out’ setelah terikat tanpa jaringan dalam saingan sebenar.
Bagi edisi 2023, Australia dikecewakan India 4-5 melalui penalti ‘shoot out’ selepas seri 1-1 pada aksi penuh.
Australia bagaimana pernah merangkul kejuaraan kejohaan bawah 21 tahun (B-21) pada dua edisi berturut-turut iaitu tahun 2016 dan 2017.
Stacy yang kali keempat melatih skuad remaja dalam saingan SOJC mengakui kecewa setelah tiga kali terlepas peluang untuk bergelar juara, namun tekad untuk mencuba yang terbaik pada kejohanan kali ini.
“Kami mara ke final, tetapi tewas. Kalah kepada India dalam penentuan penalti, tumpas kepada Jerman dalam penentuan penalti dan tewas di tangan Great Britain tahun lepas. Jika anda tidak berada di final, anda tidak boleh memenanginya.
“Jadi saya tetap bangga dengan pemain-pemain ini kerana mereka bermain dengan baik untuk mara ke final,” katanya
